Selasa, 1 September 2020 | 7:28pm

MOTAC lihat potensi kerjasama dengan MPB promosi produk pelancongan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) percaya platform dalam kumpulan Media Prima Berhad (MPB) mampu membantu mempromosikan produk pelancongan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata melalui kunjungan hormat oleh pengurusan kanan MPB, diketuai pengerusinya, Datuk Syed Hussian Syed Junid, hari ini pihaknya dapat berbincang perkara baharu yang boleh menjadi produk pelancongan.

Beliau berkata, turut dibincangkan inisiatif yang diambil kementerian itu untuk merancakkan sektor pelancongan, seni dan budaya dalam iklim ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.

"Saya melihat potensi kerjasama antara kementerian dengan MPB sebagai satu kerjasama yang amat positif. Melalui perbincangan tadi, kita dapat membincangkan perkara baharu yang boleh menjadi produk pelancongan.

"Saya percaya, dengan platform yang ada dalam MPB ini boleh membantu kita di kementerian menambah lagi produk pelancongan dan pada masa sama, orang ramai terutama rakyat Malaysia boleh pergi ke banyak tempat serta menyaksikan produk baharu.

"Justeru, mereka tidak akan dibiarkan bosan duduk di rumah. Saya melihat potensi kerjasama ini," katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat di pejabatnya di kementerian, petang tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood; Pengarah Eksekutif dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Michael Chan, dan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial MPB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim, The New Straits Times Press (M) Berhad Mustapha Kamil Mohd Janor.

Nancy berkata, dalam pertemuan itu juga, beliau berkongsi pengalaman kementeriannya membantu mereka yang terbabit dengan industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan yang terjejas ketika ini, termasuk melalui E-Kraf Bazar serta kunjungan terhadap penggiat seni bagi membantu meringankan beban mereka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bergambar bersama Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim, The New Straits Times Press (M) Berhad Mustapha Kamil Mohd Janor ketika menerima kunjungan hormat di pejabatnya di kementerian, petang tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bergambar bersama Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim, The New Straits Times Press (M) Berhad Mustapha Kamil Mohd Janor ketika menerima kunjungan hormat di pejabatnya di kementerian, petang tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Katanya, industri pelancongan bukan hanya membabitkan tempat pelancongan saja sebaliknya ia juga membabitkan individu yang terkesan dalam industri berkenaan seperti mereka yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan, penginapan, peruncitan, muzik serta seni dan budaya.

Beliau berkata, dalam membantu pihak terjejas itu, kementeriannya mengadakan perbincangan untuk mencari penyelesaian bagi merancakkan semula sektor pelancongan negara, sekali gus membantu untuk mereka meneruskan hidup.

"Kita juga membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit dengan pelancongan dan kesenian bukan hanya membabitkan aktiviti yang dijalankan malah untuk pengurusan serta pentadbirannya.

"Tujuan kita membangunkan pelancongan domestik melalui apa yang kita lakukan adalah untuk meyakinkan orang ramai bahawa tarikan pelancong ini selamat," katanya.

Sementara itu, Syed Hussian berkata, kunjungan hormat itu selain melihat peluang kerjasama dengan kementerian berkenaan, ia juga memberi gambaran mengenai pelbagai inisiatif yang dijalankan MOTAC termasuk kursus peningkatan kemahiran yang disediakan.

"Dengan adanya hubungan antara MPB dan kementerian, kami berharap selepas ini kita dapat meneroka (peluang) kerana MPB mempunyai pelbagai platform untuk mempromosikan aktiviti yang sudah dan akan dijalankan kementerian.

"Kami melihat kementerian mengambil pelbagai inisiatif dalam situasi penularan COVID-19 ini untuk membantu penggiat seni dan pihak terbabit dalam industri pelancongan untuk menambah pendapatan mereka dalam cabaran kita hadapi ketika ini.

"Alhamdullilah, pertemuan kita pada petang ini dapat membuahkan sesuatu yang dapat membantu pihak yang berada bawah naungan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini," katanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menerima cenderahati daripada Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Syed Hussian Syed Junid selepas menerima kunjungan hormat di pejabatnya di kementerian, petang tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menerima cenderahati daripada Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Syed Hussian Syed Junid selepas menerima kunjungan hormat di pejabatnya di kementerian, petang tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X