Isnin, 31 Ogos 2020 | 4:31pm
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO BERNAMA

COVID-19: Malaysia rekod kematian hari kedua berturut-turut

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan satu lagi kematian akibat pandemik COVID-19 hari ini, iaitu hari kedua berturut-turut selepas sebulan tanpa kes kematian dicatatkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah kematian ke-127 akibat COVID-19 direkodkan di negara ini, bersamaan 1.36 peratus daripada keseluruhan jangkitan wabak itu di Malaysia.

"Kes kematian ke-127 membabitkan kes jangkitan ke-9124, iaitu lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Beliau adalah antara kes positif yang dilaporkan pada 13 Ogos lalu dalam Kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos setelah didapati positif COVID-19.

"Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos jam 10.35 malam. Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X