Isnin, 31 Ogos 2020 | 9:15am
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi tabik hormat kepada Pasukan Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, hari ini dan turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi tabik hormat kepada Pasukan Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, hari ini dan turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah - Foto BERNAMA

Malaysia akan layari kejayaan diimpikan - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menaruh keyakinan pelbagai program dan inisiatif kerajaan, bakal membawa semula negara melayari kejayaan yang diimpikan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan dalam membela kehidupan segenap rakyat apabila negara dibadai pandemik COVID-19 yang menyaksikan keseluruhan rantaian ekonomi hampir lumpuh dan merencatkan sosioekonomi penduduk.

"Dalam semangat kita menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dengan tema 'Malaysia Prihatin', beta ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan beta yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi dan kewangan negara.

"Kebajikan rakyat juga terus dibela sepanjang negara berhadapan dengan pandemik COVID-19. Beta berkeyakinan pelbagai program dan inisiatif yang sudah dan bakal diambil oleh kerajaan bakal membawa semula negara melayari kejayaan diimpikan," titah baginda, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Dataran Pahlawan Negara, dekat Presint 1, di Putrajaya, di sini, tepat pada jam 8 pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Titah Al-Sultan Abdullah adalah yang kedua dalam sejarah, sejak negara menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan pada 1957.

Titah Diraja pertama oleh Yang di-Pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, berlangsung pada tarikh sama, 31 Ogos, 50 tahun lalu, sewaktu Rukun Negara diisytiharkan pada 1970.

Memanfaatkan kesempatan sedia ada, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang disifatkan sebagai wira Malaysia ketika mengharungi kesan kesihatan awam susulan penularan jangkitan COVID-19, sejak awal Januari lalu.

"Beta ingin menyampaikan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang juga menzahirkan ketahanan dan semangat prihatin yang tinggi," titah baginda.

Berita Harian X