Sabtu, 29 Ogos 2020 | 5:28pm
WAN Junaidi Tuanku Jaafar (empat dari kanan) bersama peserta Program Bicara Ilmu “Jana Pendapatan dengan aplikasi Smartphone” anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKM) di Kuching, hari ini.- Foto/ Roji Kawi
WAN Junaidi Tuanku Jaafar (empat dari kanan) bersama peserta Program Bicara Ilmu “Jana Pendapatan dengan aplikasi Smartphone” anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKM) di Kuching, hari ini.- Foto/ Roji Kawi

Koperasi sasar RM100 bilion menjelang 2030 - Wan Junaidi

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memberi komitmen sepenuhnya untuk memperkasakan gerakan koperasi di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang menyasarkan sumbangan perolehan koperasi sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.

Beliau berkata, pihaknya yakin hasil usaha itu akan dapat dicapai apabila MEDAC bersama agensi yang dipertanggungjawabkan, bersama-sama menjaga kepentingan koperasi.

"Ketika ini, mereka juga perlu sentiasa berusaha mengukuhkan prestasi dan produktiviti pelbagai sektor koperasi sebagai salah satu penyumbang utama dalam usaha meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Program Bicara Ilmu "Jana Pendapatan dengan aplikasi Smartphone" anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKM) di sini, hari ini.

Program itu antara inisiatif kerajaan untuk membantu usahawan dan ahli koperasi menjana pendapatan dengan menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube melalui telefon pintar.

Program itu menyasarkan seramai 150 ahli koperasi bagi membantu mereka menghasilkan gambar yang menarik dan teknik suntingan gambar dengan menggunakan aplikasi suntingan dan pengiklanan melalui media sosial.

Wan Junaidi berkata, Institut Koperasi Malaysia (IKM) sebagai pusat latihan yang bertanggungjawab dalam pembangunan modal insan koperasi sentiasa membantu ahli koperasi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pemasaran secara dalam talian dan penggunaan aplikasi telefon pintar.

"Inisiatif ini dilaksanakan untuk melahirkan lebih ramai usahawan kedai maya dalam koperasi dan membantu meningkatkan sumbangan KDNK sektor koperasi dengan menggunakan sepenuhnya teknologi atau sistem Internet untuk Segala-galanya (IoT) dalam perniagaan," katanya.

Berita Harian X