Isnin, 24 Ogos 2020 | 11:23am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua kanan) Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan (tiga kanan), melepaskan konvoi jelajah dakwah sempena Semarak Dakwah Sempena Bulan Kemerdekaan 2020 di pekarangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua kanan) Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan (tiga kanan), melepaskan konvoi jelajah dakwah sempena Semarak Dakwah Sempena Bulan Kemerdekaan 2020 di pekarangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Syor RCI diteliti selepas Laporan Kewangan TH dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR: Syor penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdahulu hanya akan diteliti selepas Laporan Kewangan badan berkanun itu dibentang di Parlimen, dijangka minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya sudah meneliti laporan kewangan yang dikemukakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, minggu lalu.

"Secara rasminya kita mesti mendapatkan laporan (kewangan TH) dahulu dari Kementerian Kewangan dan selepas dibentangkan, baru boleh dibincangkan.

"Ia mungkin akan dibentangkan di Parlimen pada sesi kali ini, insya-Allah," katanya ketika ditemui BH selepas Majlis Perasmian Semarak Dakwah Sempena Bulan Kemerdekaan 2020 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kompleks Pusat Islam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary dan Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hasan.

Kelmarin, media melaporkan Laporan Kewangan TH bagi tahun 2018 dan 2019 dijangka akan dibentangkan sebelum berakhirnya sesi mesyuarat kedua sidang Parlimen, pada 27 Ogos ini.

Mengulas kemungkinan kos pakej umrah meningkat 20 ke 25 peratus, Zulkifli berkata, pihaknya belum berhubung dengan Kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

"Saya belum memperoleh hitam putih bila akan mula dibenarkan pelaksanaan umrah, sekiranya ada nanti barulah perkara ini akan diteliti.

"Setakat ini tidak ada lagi (berhubung dengan Kerajaan Arab Saudi), jadi jumlah sebenar kos yang akan meningkat belum diketahui," katanya.

Beliau berkata, sebarang perbincangan sama ada dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), TH dan agensi pengendali umrah juga masih belum dirancang buat masa ini.

Pada 9 Ogos lalu, BH melaporkan harga pakej umrah dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus apabila Arab Saudi membenarkan kemasukan semula warga negara asing untuk mengerjakan ibadat itu, mungkin mulai September atau Oktober ini.

Berita Harian X