Ahad, 23 Ogos 2020 | 4:29pm

Lima parti menganggotai PN

SLIM RIVER: Lima parti termasuk komponen Barisan Nasional (BN) terbabit untuk menjadi sebahagian gabungan Perikatan Nasional (PN) yang kini sedang dalam proses pendaftaran.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pengumuman rasmi mengenai parti berkenaan akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azmin yang secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semalam berkata kestabilan kerajaan amat penting untuk memastikan keutuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

"Setakat hari ini ada lima komponen yang sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Perdana Menteri (Muhyiddin) akan membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai status permohonan PN.

"Ada lima parti komponen, selain BERSATU ada empat lain. Ada komponen Barisan Nasional (BN) bukan atas nama BN, dia mewakili parti yang berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Azmin (kanan) bersama Ahmad Faizal melihat papan maklumat ketika melawat pusat media pada lawatan sempena PRK DUN Slim. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Azmin (kanan) bersama Ahmad Faizal melihat papan maklumat ketika melawat pusat media pada lawatan sempena PRK DUN Slim. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Pada 19 Ogos lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan parti itu akan menyertai PN bersama BERSATU.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dilaporkan berkata logo dan butiran lanjut berkenaan PN akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, pihaknya mengambil sikap terbuka dalam penyertaan mana-mana pihak bersama PN.

Sementara itu, berucap di Ladang Sungkai dekat Kampung Hendra, Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir kerajaan selama 22 bulan gagal kerana tidak mampu membela rakyat.

Azmin berkata, kerajaan PN berjaya menyelesaikan banyak krisis sama ada berkaitan ekonomi, politik serta kesihatan dan mahu rakyat menerima hakikat bahawa pentadbiran Muhyiddin adalah yang terbaik di dunia kerana berjaya menguruskan pelbagai isu.

"Mujurlah penularan wabak COVID-19 tidak berlaku pada zaman PH, (jika ketika PH) mungkin lebih ramai rakyat menderita, ...bukan kerana wabak tetapi disebabkan kerajaan PH.

"Ketika PH, minta wang tiada... semua tiada tetapi kita tengok hari ini dalam pentadbiran kerajaan PN masalah itu tidak timbul demi membantu semua rakyat di negara ini. Kerajaan (PN) memberi peruntukkan bukan disebabkan pilihan raya," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis Sembang Santai Sahabat Berjaya Amanah Ikhtiar Malaysia, Azmin meminta pengundi di DUN Slim supaya tidak membuang masa dengan mengundi calon Bebas pada hari pengundian, 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu bekas guru, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang dalam proses pendaftaran.

Azmin pada sidang media selepas melawat pusat media untuk PRK DUN Slim hari ini. - Foto BERNAMA
Azmin pada sidang media selepas melawat pusat media untuk PRK DUN Slim hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X