Sabtu, 22 Ogos 2020 | 4:02pm
Zulkifli diiringi Pesiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid melawat pameran selepas majlis pelancaran Muafakat NGO Islam Tangani Nasib Ummah di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Zulkifli diiringi Pesiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid melawat pameran selepas majlis pelancaran Muafakat NGO Islam Tangani Nasib Ummah di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Bentang laporan kewangan TH sebelum Parlimen berakhir

SHAH ALAM: Laporan kewangan Tabung Haji (TH) bagi tahun 2018 dan 2019 dijangka akan dibentangkan sebelum berakhirnya sesi mesyuarat kedua sidang Parlimen, pada 27 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata Kementerian Kewangan sedang dalam proses akhir semakan semula laporan kewangan berkenaan sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet dan dibentangkan di Parlimen.

"Alhamdulillah proses berkenaan sudah selesai. InsyaAllah, ia akan dibentangkan sebelum berakhirnya sesi Parlimen kali ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Muafakat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Tangani Nasib Ummah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai gesaan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Shazni Munir Mohd Ithnin yang mahu laporan kewangan Tabung Haji bagi tahun 2018 dan 2019 dibentangkan di Parlimen.

Menerusi laporan sebuah portal, Shazni dilaporkan mencabar Zulkifli susulan keterangan bekas Menteri di Jabatan Perdanan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dalam program Berani Semuka pada 14 Ogos lalu, yang mendakwa laporan kewangan beraudit bagi tahun 2018 dan 2019 untuk Tabung Haji yang seharusnya dibentangkannya, tidak menjadi kenyataan susulan pertukaran kerajaan pada Februari lalu.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu TH, Zulkifli memaklumkan, ia bergantung kepada Kementerian Kewangan.

"Kementerian Kewangan akan memperhalusi pelbagai isu sebelum sebarang keputusan dilakukan berkaitan penubuhan RCI," katanya.

Pada 17 Ogos lalu, media melaporkan bahawa cadangan penubuhan RCI TH dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

Zulkifli berkata, selain perbincangan khusus dengan Perdana Menteri pada 12 Ogos lalu, perbincangan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu juga akan diteruskan dengan laporan akan dikemukakan oleh Menteri Kewangan.

Terdahulu, pada majlis itu, 40 NGO termasuk dari China, India, Finland, Turki sepakat bekerjasama untuk melihat isu berkaitan Islam dalam dan luar negara termasuk kemelut tidak berkesudahan di Palestin.

Berita Harian X