Jumaat, 21 Ogos 2020 | 12:42pm
TENGKU Fuad mewakili 33 ADUN merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
TENGKU Fuad mewakili 33 ADUN merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

ADUN Sabah kemuka rayuan

KOTA KINABALU: Seramai 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfail rayuan kepada Mahkamah Rayuan di sini, atas keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Peguam, Tengku Fuad Ahmad, berkata berkata pihaknya memfail rayuan terbabit sejurus selesai prosiding mahkamah tinggi, pagi tadi.

"Ada dua perkara baik. Pertama, hakim mendapati bahawa 33 ADUN di bawah saya mempunyai 'locus standi' untuk membuat semakan kehakiman ini.

"Selain itu, hakim menemukan perkara yang menunjukkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hilang majoriti.

"Oleh itu, terdapat dua pilihan mengikut Artikel 7 (1) sama ada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meletak jawatan atau meminta membubarkan DUN," katanya hari ini.

Sementara itu, Fuad berkata, pihaknya tidak bersetuju penggunaan perkataan menasihati dan meminta di dalam surat dikemuka Mohd Shafie kepada Juhar.

Fuad berkata, pihaknya akan memasukan hujahan itu dalam permohonan rayuan kerana ia mungkin membawa maksud sama di negeri lain yang mempunyai sultan tetapi di Sabah dipimpin oleh Yang di-Pertua Negeri.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan 33 ADUN mencabar pembubaran DUN Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan berkenaan sejurus selesai prosiding pendengaran hujah.

Berita Harian X