Rabu, 19 Ogos 2020 | 8:14pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP

Nilai moratorium cecah RM70.5 bilion

PUTRAJAYA: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM70.5 bilion sejak ia berkuatkuasa 1 April lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, daripada angka itu, sebanyak RM24.7 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM45.8 bilion.

"Menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September 2020, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang terjejas akibat COVID-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar.

"Pihak yang masih terkesan boleh mula hubungi institusi perbankan mulai 8 Ogos 2020 untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam kenyataan mengenai laporan terkini pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) hari ini.

Ia adalah laporan ke-17 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

Mengulas mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH), Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah mengkreditkan bayaran berjumlah RM2.7 bilion kepada 4.13 juta penerima.

"Penerima BSH yang diluluskan tetapi tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember 2020," katanya.

Permohonan Rayuan BSH 2020 dibuka sehingga 6 September ini dengan tiada sebarang bayaran bagi penerimaan permohonan atau rayuan.

Proses rayuan boleh dibuat melalui cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Untuk rayuan secara dalam talian, ia dibuka kepada pemohon yang berstatus Tidak Lulus tertentu sahaja.

Mengenai Program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata sehingga 7 Ogos lalu, jumlah pengeluaran kumulatif antara April sehingga Ogos adalah sebanyak RM6.5 bilion membabitkan 4.52 juta penerima.

Berita Harian X