Ahad, 16 Ogos 2020 | 2:41pm
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaini Aziz berkempen di Tapak Pasar Pagi di pekan Slim River. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaini Aziz berkempen di Tapak Pasar Pagi di pekan Slim River. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM

COVID-19: Laksana PKPD di negeri perlu nasihat, lampu hijau KKM

SLIM RIVER: Sebarang keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di peringkat negeri perlu mendapat lampu hijau dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jika perintah terbabit perlu dilaksanakan, KKM akan berbincang terlebih dahulu dengan negeri berkenaan.

"Sebarang keputusan mengenainya (PKPD), KKM akan beri nasihat. Kadang-kadang tiada keperluan walaupun ada (kes).

"Sebagai contoh, katakan di Kurau, satu rumah kena (COVID-19), kita hanya ambil tindakan terhadap penghuni rumah berkenaan dan bawa mereka ke hospital untuk menjalani ujian 'swab' serta periksa kontak rapat.

"Bukan bermakna ada kes ketika itu, terus 'lockdown' (tutup) seluruh kampung, daerah dan sebagainya, KKM ada cara dia. Sebab itu saya beritahu negeri-negeri, jika ada cadangan (laksana PKPD), KKM akan berbincang dengan mereka," katanya.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan PKPD di seluruh Kedah selepas mencatatkan empat kluster COVID-19, iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala yang membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X