Khamis, 13 Ogos 2020 | 6:21pm
Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto MARA Inc
Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto MARA Inc

Apartmen MARA di Melbourne: SPRM tunggu kebenaran Australia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa menjalankan siasatan di luar negeri, tanpa kebenaran agensi negara terbabit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata siasatan penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) pada 2013 masih berlangsung, namun memerlukan kerjasama daripada Australian Federal Police (AFP).

"Kita hanya boleh ke Australia menjalankan siasatan setelah pihak AFP memberikan lampu hijau. SPRM tiada kuasa menjalankan siasatan di negara asing tanpa kebenaran.

"Tindakan kita ketika ini ialah berhubung semula dengan AFP dan aktifkan semula Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan AFP," katanya kepada BH.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan SPRM sudah membuka kertas siasatan terhadap penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne serta siasatan mereka juga sudah selesai dan hanya memerlukan tujuh orang saksi rakyat Malaysia di Australia.

Ahmad Khusairi berkata, pada Julai tahun lalu, permohonan MLA ditangguhkan oleh AFP dan mereka tidak dapat melayan permohonan SPRM.

"MLA sudah dihantar sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2016 dan 2017," katanya.

Mahkamah di Australia baru-baru ini membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.

Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi MARA, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya di Australia.

Berita Harian X