Khamis, 13 Ogos 2020 | 3:04pm
Surina (kanan) bersama pegawainya ketika meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Kuala Sanglang berikutan pelaksanaan PKPD TEMCO. - NSTP/Amran Hamid
Surina (kanan) bersama pegawainya ketika meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Kuala Sanglang berikutan pelaksanaan PKPD TEMCO. - NSTP/Amran Hamid

Penduduk degil ingkar TEMCO, ancaman baharu petugas keselamatan

KANGAR: Kedudukan Kuala Sanglang yang terletak betul-betul di sempadan Kedah-Perlis menyebabkan ada penduduk yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) untuk pergi pekan berdekatan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata walaupun pihaknya sudah menutup semua lorong tikus di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, namun masih ada yang menyelinap daripada kawasan TEMCO.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada penduduk dikesan memotong gelang merah jambu bagi mengelak orang ramai mengesan mereka.

"Keadaan geografi dan pelaksanaan TEMCO di Kampung Kuala Sanglang, Perlis ini berbeza dengan TEMCO di kawasan lain, perkara ini kita terpaksa hadapi dan sukar untuk elak.

"Lorong tikus yang digunakan adalah jalan kecil di belakang rumah penduduk yang sukar dilihat pihak keselamatan ketika melakukan sekatan jalan raya di kawasan terbabit.

"Apabila mereka (pemakai gelang merah jambu) keluar melalui jalan belakang rumah (yang terletak antara sempadan), mereka terus naik motosikal dan pergi ke pekan berdekatan malah lebih teruk ada yang potong gelang pink," katanya ketika dihubungi hari ini.

Surina berkata, perkara terbabit adalah ancaman baharu bagi pihaknya memandangkan penduduk yang menyelinap keluar dari kawasan TEMCO berpotensi tinggi positif COVID-19.

"Seperti kejadian yang dikesan baru-baru ini, selepas keluar membeli barangan, mereka meminta izin masuk balik ke kawasan TEMCO dan selepas diselidik, baru kita tahu mereka buka gelang 'pink'.

"Tindakan ini sesuatu yang berbahaya dan kita terpaksa menahan mereka untuk mengetahui sejauh mana kontak yang sudah dibuat sejurus keluar dari kawasan TEMCO," katanya.

Surina berkata, ketika ini pihaknya sudah menempatkan anggota keselamatan di kawasan laluan belakang rumah berkaitan bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kita tempatkan anggota keselamatan serta Unit Kereta Peronda (MPV) untuk melakukan rondaan secara kerap supaya penduduk tidak sewenangnya ingkar TEMCO.

"Bukan kita mahu melihat mereka sengsara di kawasan terbabit, tetapi bersabarlah kerana pihak berkuasa sudah mula mengagihkan bantuan kepada penduduk di dalam kawasan TEMCO.

"Malah FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) juga sudah bersetuju untuk menempatkan pasar basah dan barangan runcit di dalam kawasan TEMCO sebagai langkah membantu penduduk," katanya.

Semalam, polis menahan dua individu berusia 54 dan 67 tahun ingkar TEMCO selepas keduanya menyerah diri di sekatan jalan raya di Kuala Sanglang untuk ke kedai runcit di pekan berdekatan.

Sebelum ini, dua lagi individu berusia 47 dan 60 tahun ditahan di perkarangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kangar selepas ingkar TEMCO dengan alasan untuk mendaftar Bantuan Sara Hidup (BSH).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X