Khamis, 13 Ogos 2020 | 12:38pm
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. - Foto Fathil Asri
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. - Foto Fathil Asri

Moratorium bersasar pastikan sistem perbankan kukuh sokong ekonomi pulih

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan moratorium dan bantuan kewangan bersasar yang sepadan dengan kemampuan bayaran balik pinjaman akan membantu mengukuhkan sistem perbankan dengan mengurangkan pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam jangka masa panjang, demikian kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, kekukuhan sistem perbankan negara amat penting untuk menyokong pemulihan ekonomi dengan terus menyediakan akses pembiayaan kepada perniagaan dan isi rumah, selain daripada sentiasa bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan serta ketidaktentuan pada masa akan datang.

Katanya, dengan pembukaan kembali ekonomi dan penyambungan semula aktiviti perniagaan, usaha BNM kini tertumpu kepada tiga perkara utama iaitu memastikan bank terus membantu peminjam yang terjejas menerusi pemberian bantuan yang lebih bersasar.

Dalam pada itu, institusi perbankan juga perlu dipastikan untuk terus berupaya menjalankan fungsi pengantaraan yang baik dalam pemulihan ekonomi serta simpanan pendeposit terjamin dan pelabur terus yakin terhadap sistem perbankan dan ekonomi negara.

"Kami yakin dengan kaedah pendekatan bersasar, peminjam yang terjejas dan berdaya maju masih dapat dibantu dengan pakej bantuan yang bersesuaian dengan aliran tunai dan profil masing-masing agar mempunyai peluang untuk kekal berdaya saing pada masa hadapan.

"Perlanjutan tempoh moratorium yang terlalu lama kepada mereka yang tidak memerlukan juga dikhuatiri akan membuahkan budaya 'liat' membayar hutang yang hanya akan memberi kesan negatif kepada peminjam pada masa hadapan akibat hutang tidak berbayar.

"Pembayaran balik pinjaman juga akan mengurangkan risiko hutang lapuk dan tekanan pada kedudukan kewangan institusi perbankan agar terus stabil untuk menyokong proses pertumbuhan ekonomi," katanya kepada BH dalam satu temubual eksklusif di sini, semalam.

Abdul Rasheed berkata, industri perbankan berada pada kedudukan kewangan yang kukuh sebelum krisis pandemik COVID-19 dengan penampan yang mencukupi, sekali gus membolehkan institusi perbankan membantu peminjam melalui pemberian moratorium secara automatik.

Sepanjang tempoh moratorium, beliau menjelaskan, bank tidak menerima pembayaran balik walaupun mereka perlu terus memenuhi tanggungjawab mereka bagi menanggung kos deposit dan sumber pendanaan lain, dan pada masa yang sama menyediakan pinjaman kepada ekonomi.

"Oleh yang demikian, semestinya, institusi perbankan akan menerima kesan sekiranya moratorium secara automatik terus dilanjutkan.

Dalam tempoh ini juga, bank tidak dapat melihat tingkah laku pembayaran balik pinjaman dan ini mungkin kurang memberi galakan kepada bank untuk memberi pinjaman baharu kepada individu dan perniagaan," katanya.

Selain itu, Abdul Rasheed mengingatkan bahawa institusi perbankan juga mesti menjaga serta melindungi kepentingan pendeposit dengan memastikan mereka mengurus pinjaman dan pelaburan yang dibiayai menggunakan deposit dengan cara yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, pendeposit perlu diberikan jaminan tentang kekukuhan kewangan bank untuk terus menyimpan wang dan gaji mereka di dalam bank.

"Pendeposit telah pun memberikan amanah kepada bank agar menggunakan simpanan untuk membiayai pinjaman kepada orang lain yang boleh membayar balik pinjaman mereka.

"Oleh itu, pihak bank perlu terus mengamalkan pengurusan risiko yang baik dalam pemberian pinjaman atau kredit kepada peminjam," katanya.

Sejak pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai Mei 2020, aktiviti ekonomi di seluruh negara dilihat semakin rancak, malah ada individu dan perniagaan yang mampu membayar semula pinjaman mereka.

Jumlah peminjam individu yang telah mula membuat bayaran ansuran pinjaman meningkat daripada 331,000 peminjam pada April 2020 kepada 601,000 peminjam pada Julai 2020.

Sementara, untuk tempoh yang sama, jumlah peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah mula membuat bayaran ansuran bulanan meningkat hampir empat kali ganda daripada 5,000 kepada 18,000 peminjam.

Berita Harian X