Rabu, 12 Ogos 2020 | 2:44pm
Penyokong Najib berhimpun di luar mahkamah dalam keputusan pertuduhan menyelewengkan dana SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai lalu. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Penyokong Najib berhimpun di luar mahkamah dalam keputusan pertuduhan menyelewengkan dana SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai lalu. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD

COVID-10: Najib dakwa tiada kluster mahkamah

PUTRAJAYA: Dua minggu selepas penghakiman Mahkamah Tinggi terhadap kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa tiada Kluster Najib.

Najib yang memuat naik mesej berkenaan di laman sosial Facebook miliknya, dan menyatakan kesyukurannya, berkata pada masa sama, kesilapan itu tidak boleh diulangi pada masa depan.

"Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman Mahkamah Tinggi kes SRC saya. Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus sebab tempoh inkubasi COVID-19, 14 hari sudah berlalu.

"Alhamdulillah. Tapi kita jangan ulangi kesilapan hari itu. Kita perlu sentiasa mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) demi kebaikan semua," katanya.

Ramalan akan wujud kluster jangkitan COVID-19 dalam kalangan penyokong Ahli Parlimen Pekan itu, timbul susulan beratus-ratus penyokongnya hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 28 Julai lalu, bagi memberi sokongan terhadapnya selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Najib.

Perbuatan penyokong Najib itu menyebabkan pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan kemungkinan wujud Kluster Najib atau Kluster Bossku, berikutan kehadiran kumpulan itu di kompleks mahkamah tanpa menghiraukan SOP kawalan penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kecewa dengan kelakuan penyokong bekas Najib, yang tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika berhimpun di pekarangan mahkamah.

"Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri.

"Sudah terang lagi bersuluh setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia patuh kepada SOP untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan," katanya melalui Twitter.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X