Selasa, 11 Ogos 2020 | 4:17pm
KUALA LUMPUR, 11 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengadakan sidang media selepas Majlis Pelancaran Bar Emas Edisi Khas Merdeka YaPEIM 2020 hari ini.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 11 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengadakan sidang media selepas Majlis Pelancaran Bar Emas Edisi Khas Merdeka YaPEIM 2020 hari ini.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Zulkifli bincang kewajaran RCI Tabung Haji dengan Muhyiddin esok

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu Tabung Haji (TH), esok.

Zulkifli berkata, perbincangan itu untuk mendapat gambaran jelas daripada TH sebelum cadangan dan kewajaran penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai isu dikaitkan dengan TH itu dibincangkan lebih lanjut.

"Insya-Allah, esok satu perbincangan khusus antara kami dengan Perdana Menteri dan juga mereka yang terbabit untuk mendapat sebuah gambaran jelas daripada TH sebelum kita bincang dengan lebih ke hadapan lagi, insya-Allah.

"Semuanya dalam proses untuk kita mendapatkan satu keputusan yang membawa kepuasan kepada semua pihak," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pentauliahan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan Bilangan 1 Tahun 2020 di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohd Asri Tahir.

Semalam, Zulkifli ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat memaklumkan Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat akan membincangkan sedalam-dalamnya isu berkaitan TH termasuk kewajaran menubuhkan RCI.

Beliau mengakui satu badan bebas dan berkuasa harus diwujudkan untuk meneliti serta menilai transaksi TH.

Akhbar sebelum ini melaporkan, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.

Selain itu, timbul dakwaan mengaitkan Pakatan Harapan (PH) menyalahgunakan kuasa untuk melepaskan hak TH membeli aset hartanah bagi membolehkan semua aset entiti berkenaan dilelong kepada pihak luar.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan golongan transgender, Zulkifli berkata, pihaknya setakat ini tidak mempunyai perancangan bagi mewujudkan akta baharu dalam membanteras masalah sosial berkaitan kelompok itu.

"Setakat ini belum lagi (perancangan wujudkan akta baharu), cukup dengan akta yang ada.

"Namun, kita akan mula turun padang (bagi tujuan mendidik)," katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 168 peguam syarie menerima tauliah Sijil Amalan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang diadakan secara berperingkat dalam tiga sesi bermula hari ini hingga Khamis.

Berita Harian X