Isnin, 10 Ogos 2020 | 12:10pm
Penduduk setempat membeli barangan keperluan harian di kedai runcit berdekatan ketika tinjauan di sekitar pekan Kuala Sanglang. - Foto BERNAMA
Penduduk setempat membeli barangan keperluan harian di kedai runcit berdekatan ketika tinjauan di sekitar pekan Kuala Sanglang. - Foto BERNAMA

Penduduk Kuala Sanglang bimbang bekalan makanan terputus

KANGAR: Penduduk Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) mula bimbang terputus makanan dan barangan keperluan harian.

Penduduk, Saadiah Baharom, 58, berkata kedai runcit sekitar Kuala Sanglang ditutup sejak bermula TEMCO kelmarin, kerana peniaga turut mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, meskipun ketua keluarga atau individu yang memakai gelang khas dibenarkan keluar, mereka bimbang tiada kedai akan menjual barangan terbabit.

"Memang bimbang sebab di Kuala Sanglang tidak banyak kedai runcit dan kalau ada pun tiada yang berani buka sebagai langkah berjaga-jaga dan selalunya memang mereka tutup.

"Setakat ini bekalan makanan memang ada di rumah, namun ramai penduduk mula menyuarakan kebimbangan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi Najwa Zulkifli, 26, dia khuatir jika penduduk bakal menerima nasib sama seperti di Napoh, Kedah apabila bekalan makanan di kawasan itu mulai berkurangan akibat TEMCO.

"Walaupun bantuan makanan dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi pada masa sama kami kena ada simpanan makanan lain di rumah.

"Setakat ini, penduduk memang tidak dapat keluar rumah kerana mematuhi perintah TEMCO, cuma kami risau jika satu hari nanti bekalan terputus," katanya.

Peniaga, Teoh Chin Bin, 57, berkata, sejak TEMCO dikuatkuasakan, pekan Kuala Sanglang menjadi sunyi dan tiada penduduk berani keluar daripada kediaman masing-masing.

"Sejak kes COVID-19 menular di sini, kami semua menjadi bimbang dan Kuala Sanglang boleh diibaratkan sebagai pekan mati.

"Penduduk mula kuarantin diri di rumah masing-masing dan mematuhi TEMCO seperti diarah kerajaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Perlis, Che Ahmad Che Noor, meminta penduduk tidak panik dan bimbang berikutan pelaksanaan TEMCO.

Katanya, JKM dibantu kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Sukarelawan Perlis (PVAC) akan turun padang menyalurkan bantuan.

"Kita sudah menghantar bekalan makanan sejak semalam dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

"JKM menasihatkan penduduk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kita akan bantu mangsa yang terpaksa kuarantin di rumah untuk mengelak mereka terputus bekalan makanan," katanya.

Berita Harian X