Ahad, 9 Ogos 2020 | 3:24pm
Petugas Kesihatan membantu penduduk menjalani saringan bagi membendung penularan wabak COVID-19, hari ini. - Foto NSTP/AMRAN HAMID
Petugas Kesihatan membantu penduduk menjalani saringan bagi membendung penularan wabak COVID-19, hari ini. - Foto NSTP/AMRAN HAMID

Semua laluan ke Kuala Sanglang ditutup esok

KUALA PERLIS: Semua laluan keluar masuk ke Kuala Sanglang akan ditutup sepenuhnya 8 pagi esok, bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Polis juga akan memperketat kawalan di tiga laluan tikus, iaitu satu di Kampung Tanah Timbul dan dua di Kampung Kuala Sanglang, dengan kedua-dua kampung itu kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO).

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata semua penduduk di Kampung Tanah Timbul menjalani saringan semalam.

Katanya, penduduk Kampung Kuala Sanglang akan mengambil ujian COVID-19 hari ini dan selepas proses saringan selesai hari ini, semua jalan akan mula ditutup esok.

"Penduduk di kedua-dua kampung itu tidak dibenarkan keluar rumah dan mereka perlu melakukan kuarantin di rumah sehingga tempoh TEMCO tamat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan keperluan makanan terhad di kawasan TEMCO sahaja.

Sementara itu, Surina berkata, polis tidak mengeluarkan sebarang surat membenarkan mana-mana individu keluar masuk kawasan TEMCO, sebaliknya surat kebenaran hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X