Ahad, 9 Ogos 2020 | 11:08am
Polis membuka tiga sekatan jalan raya (SJR) bagi laluan yang menghala ke Kuala Sanglang yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO). ARKIB NSTP
Polis membuka tiga sekatan jalan raya (SJR) bagi laluan yang menghala ke Kuala Sanglang yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO). ARKIB NSTP

Sekatan jalan raya ke Kuala Sanglang

KANGAR: Polis mengadakan sekatan jalan raya bagi laluan ke Kuala Sanglang yang kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata tiga sekatan itu membabitkan jalan utama, termasuk jalan yang menghubungkan di antara negeri ini dengan Kedah di Kuala Sanglang.

"Antaranya termasuklah Jalan Simpang Empat menghala ke Kuala Sanglang, di simpang tiga Jalan Padang Keria, Jalan Kuala Perlis menghala ke Kuala Sanglang di pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang.

"Sekatan jalan raya juga diadakan Jalan Kuala Sanglang, Kedah ke Pekan Kuala Sanglang berdekatan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chin Hun," katanya.

Wari berkata, 20 anggota keselamatan ditempatkan di setiap sekatan bagi mengawal keluar masuk orang awam ke lokasi TEMCO.

Katanya, sekatan jalan raya mungkin ditambah berdasarkan keadaan semasa.

"Setakat ini hanya tiga sahaja dulu. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Semalam, Perlis mengisytiharkan Kuala Sanglang di mukim Sanglang sebagai lokasi TEMCO bermula malam tadi hingga 9 September depan.

Kerajaan negeri menerusi kenyataan malam tadi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor pertambahan kes COVID-19 yang membabitkan dua kampung di kawasan berkenaan, iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X