Sabtu, 8 Ogos 2020 | 8:49pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kuala Sanglang dikenakan TEMCO mulai malam ini

KANGAR: Perlis mengisytiharkan Kuala Sanglang di mukim Sanglang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) bermula malam ini hingga 9 September depan.

Kerajaan negeri menerusi kenyataan malam ini berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor pertambahan kes COVID-19 membabitkan dua kampung yang terletak di dalam kawasan berkenaan iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang.

"Penduduk di kawasan berkenaan dipohon supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan TEMCO akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap laluan keluar masuk ke kawasan TEMCO.

"Orang awam yang berada di luar kawasan pelaksanaan TEMCO tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan kecuali terbabit dengan memberikan perkhidmatan perlu.

"Selain itu penduduk di dua kampung yang terjejas diminta mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan kepada penduduk meskipun telah menjalani ujian saringan," katanya.

Menurut kenyataan itu, hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar dari rumah bagi membeli barangan keperluan.

"Keputusan saringan hanya akan diperoleh tidak melebihi empat hari daripada tarikh ujian saringan dilaksanakan.

"Bagaimanapun penduduk tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan yang terbabit dengan pelaksanaan TEMCO," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perlis mempertimbangkan untuk melaksanakan TEMCO di kawasan tertentu jika jumlah kes COVID-19 di Perlis mencatatkan peningkatan hari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, dilaporkan berkata pihaknya mengesahkan jumlah kes COVID-19 bakal bertambah lagi 10 kes hari ini membabitkan sebuah keluarga di Sanglang yang mempunyai kaitan dengan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Napoh, Kubang Pasu.

Sehingga kini, kes positif COVID-19 di Perlis meningkat kepada 30 kes selepas 11 daripadanya membabitkan kluster berkenaan yang bermula di sebuah kedai makan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X