Sabtu, 8 Ogos 2020 | 4:40pm
 Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto ihsan MARA Inc
Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto ihsan MARA Inc

MARA serah siasatan Dudley International House kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Siasatan penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) pada 2013 diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pihaknya sudah memberikan kerjasama sejak kes itu dibangkitkan pihak berkuasa Australia pada pertengahan 2015.

"Dengan ini saya menegaskan bahawa pendirian MARA sejak dahulu lagi adalah jelas iaitu menyerahkan kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh SPRM," katanya dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mahkamah di Australia membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.

Azizah berkata, MARA menghargai keprihatinan orang ramai serta media dalam isu berkenaan.

"Bagaimanapun, saya menyeru semua pihak memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Sejak 2015, MARA mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan SPRM terhadap anak syarikatnya, MARA Inc, berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Pengerusi MARA ketika itu, Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata, agensi itu memperoleh bangunan lima tingkat Dudley International House seluas 30,279 kaki persegi selepas Mac 2013 untuk menempatkan pelajar di dalam 112 bilik.

"MARA Inc membeli bangunan itu daripada pemaju pada harga yang berpatutan dan ini disokong oleh laporan hartanah daripada penilai profesional antarabangsa bertauliah," kata Annuar.

Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi MARA, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya apabila melanjutkan pelajaran di Australia.

Berita Harian X