Sabtu, 8 Ogos 2020 | 3:07pm
Zulkifli Md Isa (kanan) menyampaikan sumbangan ikan segar kepada 70 penduduk Kampung Natoi, Napoh. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Zulkifli Md Isa (kanan) menyampaikan sumbangan ikan segar kepada 70 penduduk Kampung Natoi, Napoh. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Dua sekolah di Sanglang cuti hingga Jumaat

KANGAR: Dua sekolah di Sanglang diberikan cuti khas seminggu hingga Jumaat depan, berikutan penularan wabak COVID-19 di dua kawasan dalam mukim berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman, berkata pemberian cuti itu diberikan selepas mendapat arahan daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Katanya, dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, berikutan ada individu mempunyai kontak dengan pesakit COVID-19.

"Saya difahamkan cuti atau arahan Perintah Pengasingan sudah dikeluarkan kepada guru-guru di dua sekolah berkenaan sehingga Jumaat hadapan.

"Bila tiada guru, bermakna pelajar juga tidak perlu hadir ke sekolah selama perintah ini dikuatkuasakan. Sekolah selain daripada yang dikenakan arahan terbabit di Sanglang masih boleh meneruskan persekolahan seperti biasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jika ada ibu bapa yang masih tidak yakin dengan situasi semasa, mereka boleh memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah, namun mestilah mengemuka surat kepada Jabatan Pendidikan Perlis," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mempertimbang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan tertentu di Sanglang.

Azlan berkata, pihaknya mengesahkan jumlah kes COVID-19 bertambah lagi 10 kes semalam dengan membabitkan sebuah keluarga di Kuala Sanglang yang mempunyai kaitan dengan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Napoh, Kubang Pasu.

Sehingga semalam, 12 kes positif COVID-19 sudah dilaporkan di Perlis membabitkan kawasan di Sanglang dan Padang Siding dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 20 kes, sejak Mac lalu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X