Jumaat, 7 Ogos 2020 | 7:01pm
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berbual dengan wakil negara ASEAN ketika sambutan ulang tahun ke-53 penubuhan ASEAN di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berbual dengan wakil negara ASEAN ketika sambutan ulang tahun ke-53 penubuhan ASEAN di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

'Parti baharu jejas kestabilan politik negara, serantau'

PUTRAJAYA: Penubuhan parti politik baharu di negara ini hanya akan mengeruhkan keadaan serta mewujudkan ketidakstabilan politik, sekali gus memberi kesan kepada rantau ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihak terbabit tidak perlu ghairah mewujudkan parti baharu sebaliknya lebih memikirkan masa depan negara.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, penubuhan parti baharu lebih kepada kepentingan peribadi tanpa meletakkan kepentingan negara dan rakan serantau sebagai keutamaan.

"Kalau kita terus bercakaran, wujud pelbagai parti ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan mewujudkan satu keadaan yang tidak stabil kepada negara kita dan ia akan memberi kesan kepada rantau ini.

"(Penubuhan parti baharu) ini diperhatikan oleh negara lain di ASEAN, penting untuk semua pihak bertanggungjawab kerana apa yang dilakukan kini akan memberi kesan kepada generasi akan datang.

"Kita tidak mahu disalahkan oleh mereka (generasi akan datang) kerana semasa kita memimpin, kita tidak mempertahankan hak mereka untuk hidup dalam satu negara dan serantau yang selamat," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menubuhkan parti baharu berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, keputusan menubuhkan parti baharu itu dibuat selepas beliau hilang kepercayaan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas parti berkenaan memecat keahliannya bersama lima lagi pemimpin sebelum ini.

Berita Harian X