Jumaat, 7 Ogos 2020 | 4:37pm
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Ahli Parlimen Segamat sertai BERSATU

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjelaskan beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atas prinsip dan kerelaan sendiri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menyifatkan faktor BERSATU lebih terbuka kepada semua kaum, selain berteraskan Perlembagaan Persekutuan mendorongnya menyertai parti berkenaan.

"Saya terbuka hati tanpa tekanan atau paksaan dari mana-mana pihak, saya menyertai parti BERSATU dan saya telah mendapat restu daripada rakan-rakan perjuangan saya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Santhara turut mengesahkan beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di bangunan Parlimen pada 5.50 petang semalam.

Mengulas lanjut, Santhara menegaskan beliau tidak keluar daripada PKR, sebaliknya dipecat susulan prinsipnya ketika itu yang mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Santhara kemudian menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Santhara berkata, penyertaan itu menjadikan beliau ahli Parlimen bukan Bumiputera tunggal menjadi ahli bersekutu BERSATU dan berhasrat untuk meneruskan hak serta perjuangan membantu masyarakat India dan minoriti lain.

Selain Santhara, Ahli Parlimen yang turut dipecat daripada PKR sebelum ini ialah Mohamed Azmin (Gombak); Zuraida (Ampang); Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Ja'afar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat); Ali Biju (Saratok); Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). - BERNAMA

Berita Harian X