Jumaat, 7 Ogos 2020 | 12:10am
Kenderaan yang membawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tiba di SPRM, Putrajaya malam tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah.
Kenderaan yang membawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tiba di SPRM, Putrajaya malam tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah.

Azam Baki sahkan penahanan Guan Eng

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak dilepaskan ketika dipanggil hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi, sebaliknya terus ditahan sebelum dibawa ke mahkamah esok.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu ditahan malam tadi.

Ketika ditanya sama ada Guan Eng akan hadir sendiri ke Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, pagi ini, Azam bagaimanapun hanya menjawab ringkas bahawa Ahli Parlimen Bagan itu ditahan di ibu pejabat SPRM.

"Sudah tahan," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, malam tadi.

Terdahulu, melalui kenyataan SPRM, Guan Eng akan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SRPM di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, jam 9 pagi.

Guan Eng juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini kerana kesalahan mengikut Sekyen 23 Akta SPRM.

Setiausaha Agung DAP itu juga kemudiannya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi pada keesokan harinya (11 Ogos)kerana kesalahan mengikut Seksyen 23 akta sama.

Menurut kenyataan SPRM, suruhanjaya itu mendapat izin mendakwa Guan Eng daripada Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun.

Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu adalah bersangkutan dengan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Seksyen 16 (a) (A) dan Seksyen 23 Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pada akhir Julai lalu, Guan Eng sudah tiga kali dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM6.3 bilion.

Berita Harian X