Rabu, 5 Ogos 2020 | 5:17pm
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BERNAMA
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BERNAMA

Bekalan makanan dijamin cukup di kawasan TEMCO - MB Kedah

ALOR SETAR: Penduduk terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) dijamin menerima bekalan makanan secukupnya sepanjang tempoh berkenaan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dalam proses mengenal pasti jumlah keluarga di empat mukim yang terbabit dengan TEMCO terutama dalam kelompok B40.

Katanya, bagi memastikan stok makanan tidak terputus, pihaknya juga meminta syarikat makanan meningkatkan bekalan ke kawasan terbabit sehingga 30 Ogos ini.

"Kita faham penduduk di kawasan TEMCO merasa tertekan, jadi kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan bagi menyediakan bekalan makanan secukupnya kepada mereka.

"JKM Kedah sedang berusaha mendapatkan butiran lanjut dan jumlah keluarga yang tidak dapat keluar bekerja. Kita anggarkan lebih 2,000 keluarga akan mendapat bantuan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas kekurangan bekalan roti di Napoh, beliau menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) membenarkan barangan runcit dan makanan kering terus dihantar ke kawasan TEMCO.

"Kita akan minta pembekal tambah bekalan roti ke kawasan terbabit kerana perkhidmatan dan barangan penting masih dibenarkan terus beroperasi seperti biasa.

"Namun, kita minta penduduk Napoh dan mukim lain patuh SOP ditetapkan termasuk hanya seorang wakil keluarga dibenarkan keluar membeli makanan dan barangan keperluan lain," katanya.

Sementara itu, penduduk berhampiran kawasan TEMCO yang bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah diminta membuat surat permohonan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

"Memang ada laporan mengenai kebimbangan ibu bapa menghantar anak ke sekolah, jadi mereka boleh hantar surat kepada sekolah memaklumkan tidak bersedia menghantar anak ketika ini.

"Tetapi, kita harap kebenaran ini tidak diambil kesempatan pula ibu bapa yang berada jauh dari kawasan TEMCO," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan pelaksanaan TEMCO di Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Padang Terap) dan Kampung Ulu di Padang Sanai (Padang Terap) susulan penularan wabak COVID-19 daripada Kluster Sivagangga yang setakat ini menyebabkan 21 individu positif.

Berita Harian X