X
Selasa, 4 Ogos 2020 | 3:41pm

Jualan e-buku cetak rompak berleluasa dalam laman e-dagang

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) mendedahkan berlaku penjualan e-buku cetak rompak melalui platform e-dagang terkemuka di negara ini.

Persatuan itu mendakwa sudah menerima pelbagai laporan daripada penerbit mengenai buku, komik dan majalah terbitan mereka yang dicetak rompak dan dijual sebagai fail 'PDF atau e-buku' secara berleluasa dalam platform e-dagang.

Menurut MABOPA, penjual e-book cetak rompak itu membuat salinan daripada buku asal sebelum menjualnya dalam platform e-dagang terkemuka.

"E-buku cetak rompak ini umumnya dijual dengan harga serendah 50 sen, RM1 dan RM2.

"Ada penjual yang sudah menjual beribu-ribu salinan fail e-buku berkenaan," menurut persatuan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

MAPOBA berkata, perkara itu timbul kerana kelemahan besar pemilik e-dagang yang tidak mematuhi Akta Hakcipta dan pihaknya sudah pun menghantar surat amaran kepada pemilik platform e-dagang terbabit.

"Surat amaran ini adalah satu peringatan kepada pemilik platform e-dagang untuk membanteras aktiviti haram cetak rompak dalam laman dagang milik mereka.

"MABOPA menggesa supaya semua pemilik platform e-dagang mengambil langkah segera, secara pentadbiran dan teknologi, untuk membanteras jualan e-buku cetak rompak dalam laman e-dagang mereka," menurutnya.

Persatuan itu turut menggesa pemilik e-dagang mengambil tindakan tegas dengan membatalkan semua jenis jualan PDF/e-buku cetak rompak dalam laman e-dagang mereka dengan serta merta selain pemilik e-dagang juga digesa hanya membenarkan jualan e-buku yang sah dan berlesen.

"Penjual mesti membuktikan bahawa mereka mempunyai lesen dan kontrak dari penerbit yang sah, sebelum boleh menjual sebarang bentuk e-buku di platform e-dagang.

Dalam masa sama, persatuan itu menggesa pemilik e-dagang membina satu sistem pelaporan pelanggaran hak cipta yang telus, jelas dan efektif untuk pemilik hak cipta membuat laporan.

"Wujudkan unit khusus anti cetak rompak yang membanteras jualan sebarang jenis barangan cetak rompak dalam platform e-dagang.

"Selain itu, memberikan pendidikan dan penerangan kepada penjual mengenai kesalahan pelanggaran hak cipta dan penalti atas pelanggaran hak cipta," katanya.

MAPOBA turut mengesa pemilik e-dagang tidak menutup sebelah mata atau memandang ringan perkara berkenaan kerana ia berkaitan dengan pelanggaran Akta Hak Cipta dan mendedahkan pemilik e-dagang kepada tindakan undang-undang.

"Kami ingin menekankan bahawa di bawah Seksyen 41, Akta Hak Cipta Pindaan 2003 pelanggaran hak cipta boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan bagi apa-apa kesalahan yang berikutanya, " katanya.

Justeru, MABOPA memohon perhatian serius daripada pihak pembuat dasar dan pihak penguat kuasa dalam hal ini.

"Kita sedang berdepan dengan dimensi cetak rompak baharu yang jauh lebih serius dari apa yang industri buku pernah hadapi sebelum ini.

"Penulis, pengkarya, penerbit dan seluruh rangkaian ekosistem buku dianiaya oleh cetak rompak. Hak kami dirampas, mata pencarian kami diancam dan industri ini akan mati kerana cetak rompak yang berleluasa," katanya.

Berita Harian X