Isnin, 3 Ogos 2020 | 8:39pm
Orang ramai di Napoh, Kedah, memakai pelitup muka bagi membendung jangkitan COVID-19. - NSTP/AMRAN HAMID
Orang ramai di Napoh, Kedah, memakai pelitup muka bagi membendung jangkitan COVID-19. - NSTP/AMRAN HAMID

TEMCO: Semua aktiviti keagamaan di masjid ditangguhkan

ALOR SETAR: Semua aktiviti keagamaan di masjid dalam kawasan terbabit Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran (TEMCO) di Kubang Pasu serta Padang Terap, ditangguhkan dan surau diarah tutup bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud, berkata justeru sembahyang Jumaat perlu digantikan dengan solat zohor, manakala sebarang aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu dan bacaan Yasin adalah tidak dibenarkan di masjid terbabit.

Namun, beliau berkata, solat fardu berjemaah di masjid berkenaan dibenarkan dengan maksimum tiga orang saja membabitkan imam, pegawai atau ahli jawatankuasa masjid secara bergilir-gilir mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, laungan azan di masjid berkenaan dibenarkan sebagai makluman kepada anak kariah berkaitan waktu solat dengan lafaz azan kembali disebut kepada 'sollu fi buyutikum' (solatlah di rumah kamu).

"Anak kariah bagi masjid terbabit hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan sembahyang zohor di rumah, selain menunaikan solat fardu di kediaman masing-masing.

"Mereka juga dilarang menunaikan solat Jumaat atau sembahyang fardu berjemaah di masjid atau surau lain," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Mohd Yusri berkata, masjid dan surau terbabit juga hendaklah menjalani proses pembersihan dan disinfeksi.

Selain itu, beliau berkata, mana-mana masjid yang mendapati ada jemaah positif COVID-19, hendaklah dilakukan sanitasi secara keseluruhan dan operasi ditutup sepenuhnya.

Katanya, dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 dari semasa ke semasa, Pejabat Agama Daerah terbabit berhak untuk menentukan masjid dan surau yang perlu mematuhi arahan khas penangguhan aktiviti keagamaan.

"Setakat ini, masjid dikenal pasti perlu mematuhi arahan itu ialah Masjid Bani Hashim, Pekan Napoh; Masjid Kariah Kampung Cherok Mokkan (al-Amin) dan Masjid Kariah Kampung Bukit (al-Bukhari), mukim Hosba; Masjid Kariah Megat Dewa (Jamuisalam), mukim Ah; Masjid Kariah Binjal dan Masjid Kariah Asun (al-Jahra), mukim Binjal; serta semua surau kariah Hosba, Kampung Cherok Mokkan, Megat Dewa, Binjal, Asun dan Kampung Bukit.

"Di Daerah Padang Terap pula ialah masjid kariah Kampung Kubang Palas, Kampung Padang Sanai serta Kampung Padang Cenderai (at-Tarmizi) dan semua surau di kampung berkenaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X