Jumaat, 31 Julai 2020 | 4:51pm
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. - Foto NSTP
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. - Foto NSTP

Pilihan raya negeri selesaikan kemelut politik - UMNO Sabah

KOTA KINABALU: UMNO Sabah berpendirian Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat sebagai jalan penyelesaian kemelut politik melanda negeri Sabah ketika ini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan semalam.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bagaimanapun mengakui PRN bukan pilihan terbaik terutama ketika pandemik COVID-19 masih melanda.

"PRN bukanlah pilihan utama jika dilihat dari sudut keadaan sekarang ini namun bagi menyelesaikan kemelut politik Sabah, ini jalan terbaik.

"UMNO-BN akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi PRN bila-bila masa.

"Rakyat Sabah sudah pernah memilih BN dan WARISAN sebelum ini, jadi kita serahkan semula kepada rakyat parti mana yang mereka lebih yakin dan percayai," katanya.

Dalam perkembangan lain, media melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata UMNO Sabah diberi kuasa autonomi sepenuhnya dalam membuat persiapan dan menentukan calon bagi PRN Sabah.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas sehari sebelumnya, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu.

Selepas sidang media Mohd Shafie, Musa sekali lagi mengulanginya dan menegaskan beliau menerusi peguamnya sudah menyerahkan 33 Akuan Bersumpah (SD) dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pagi semalam.

Musa berkata, SD berkenaan adalah bukti mengesahkan 33 ADUN itu, menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri.

Berita Harian X