Jumaat, 31 Julai 2020 | 4:47pm
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh beramah mesra dengan Imam Masjid Al Hasanah, Ustaz Ismail Md Noh ketika membuat pemantauan pematuhan SOP untuk melakukan ibadah korban pada Aidiladha yang telah digariskan pihak berkuasa sepanjang PKPP di Masjid Al Hasanah Kariah Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh beramah mesra dengan Imam Masjid Al Hasanah, Ustaz Ismail Md Noh ketika membuat pemantauan pematuhan SOP untuk melakukan ibadah korban pada Aidiladha yang telah digariskan pihak berkuasa sepanjang PKPP di Masjid Al Hasanah Kariah Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA

60,038 pemeriksaan dijalankan semalam

PUTRAJAYA: Sebanyak 60,038 pemeriksaan dilaksanakan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebanyak 2,665 Pasukan Pematuhan dengan 12,262 anggota, membuat pemantauan di 4,066 pasar raya; 5,778 restoran serta 1,230 penjaja, 1,319 kilang, 3,755 bank dan 819 pejabat kerajaan.

Beliau berkata, turut dipantau, sebanyak 1,191 terminal pengangkutan darat, 146 terminal pengangkutan air serta 54 terminal pengangkutan udara.

"Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 186 individu membabitkan kesalahan ingkar arahan PKP.

"Daripada jumlah itu, seramai 41 individu sudah direman manakala tiga individu dijamin. Seramai 142 individu pula dikenakan kompaun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen (dua individu), aktiviti yang tidak mengikuti SOP (59 individu), aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (124) dan seorang yang melanggar perintah pengawasan di rumah.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, sebanyak 59 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dijalankan di seluruh negara semalam, dan 41,748 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya melalui lorong tikus.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Katanya, orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X