Rabu, 29 Julai 2020 | 11:39pm
Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Foto BERNAMA
Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Foto BERNAMA

Keputusan bekas Peguam Negara 'bersihkan' nama Najib tidak konklusif - Hakim

KUALA LUMPUR: Keputusan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang 'membersihkan' nama Datuk Seri Najib Razak daripada skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak konklusif, demikian diputuskan melalui penghakiman Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, ini kerana walaupun Mohamed Apandi melakukan tindakan yang betul, ia adalah berdasarkan bukti diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan didedahkan dalam kertas siasatan ketika itu.

Beliau berkata, meskipun Mohamed Apandi serta bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, memutuskan siasatan ketika itu lengkap berdasarkan bukti SPRM dan direkodkan dalam kertas siasatan, namun bagi tujuan perbicaraan kes pula ia hendaklah berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Katanya, pendapat Mohamed Apandi dan Dzulkifli tidak boleh menggantikan bukti serta keterangan dikemukakan di mahkamah sebelum ia (mahkamah) membuat keputusan akhir.

"Tidak boleh dikatakan oleh kerana bukti Mohamed Apandi dan kenyataan akhbar itu, kenyataan Dzulkifli yang memainkan peranan penting membantu Mohamed Apandi menyemak kertas siasatan daripada SPRM memberikan kelebihan kepada kes pembelaan dalam menangkis kes pendakwaan atau menimbulkan keraguan munasabah.

"Kedua-dua mereka sebelum ini mengaku dalam pemeriksaan balas bahawa mereka tidak mengetahui siasatan lanjut oleh SPRM selepas pengumuman pada 26 Januari 2016 yang memutuskan tiada sebarang tindakan lanjut (NFA).

"Menurut Pendakwa Raya, kenyataan direkodkan daripada 76 saksi baharu dan keterangan lanjut diambil daripada saksi yang ada. Kedua-dua saksi ini juga tidak mengetahui bukti pengakuan berhubung pengetahuan yang terkandung dalam afidavit disahkan oleh tertuduh dalam satu kes saman fitnah," katanya.

Sementara itu, Mohd Nazlan berkata, berdasarkan keterangan tertuduh dalam tempoh 15 hari membela diri dan diperiksa balas, Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud, tidak menyatakan sebarang hasrat untuk memberikan sokongan kewangan atau derma kepadanya (Najib).

Beliau berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi seseorang pemimpin negara berdaulat untuk menyatakan sokongan kepada kepimpinan pemimpin yang lain dalam hubungan antarabangsa.

Katanya, hanya pada pertengahan 2010, tertuduh menyatakan bahawa beliau mendapat tahu Raja Abdullah mahu memberikan sumbangan kepadanya berdasarkan kepada apa yang diberitahu oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Menurut tertuduh, dalam fikirannya bahawa sumbangan derma itu adalah konsisten dengan apa yang diberitahu oleh Raja Abdullah kepadanya dalam satu pertemuan di Riyadh.

"Tanpa mengira pengaruh Jho Low dalam kalangan kerabat diraja Arab Saudi, dan keyakinan tertuduh kepadanya berdasarkan pencapaiannya (Jho Low), saya dapati kegagalan tertuduh untuk mengesahkan secara rasmi sumbangan derma itu menunjukkan kepercayaannya bahawa derma itu akan diberikan adalah sesuatu yang mustahil.

"Dakwaan bahawa Raja Abdullah berhasrat memberikan sumbangan derma peribadi kepada tertuduh, iaitu pemimpin sebuah negara lain, yang akan dimasukkan ke dalam akaun peribadi adalah bukan satu kebiasaan dalam hubungan antarabangsa, begitu juga pada tahap peribadi antara pemimpin negara.

"Begitu juga tiada sebarang pengesahan rasmi kerajaan (Arab Saudi dan Malaysia) bahawa tertuduh selaku Perdana Menteri (ketika itu) secara faktanya menerima dalam akaun peribadinya derma daripada Raja Abdullah," katanya.

Hakim itu berkata, daripada bukti dikemukakan, adalah jelas bahawa tertuduh tidak dapat mempercayai kisah derma keluarga diraja Arab Saudi dengan jujur, terutama mengenai surat derma keempat bagi memberikan pembelaan kepadanya bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang dibayar ke dalam akaun tertuduh kerana menyangka membelanjakan dana yang didermakan.

Beliau berkata, pembelaan itu tidak dapat dipertahankan sepenuhnya.

"Berdasarkan keseluruhan bukti, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Saya berpuas hati bahawa sudah dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah bahawa tertuduh, sebagai pengarah bayangan dan pengarah SRC (seperti didefinisikan mengikut Seksyen 402A Kanun Keseksaan) yang diberi kepercayaan untuk menguasai harta syarikat, dengan niat tidak jujur menyalahgunakan (dan ditukarkan untuk kegunaannya sendiri) dana milik SRC dengan jumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta seperti dinyatakan dalam tiga pertuduhan pecah amanah," katanya.

Berita Harian X