Rabu, 29 Julai 2020 | 5:32pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - FOTO BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - FOTO BERNAMA

Najib menentukan bila dana disalurkan ke dalam akaunnya - Hakim

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mendapat kepuasan melalui keuntungan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, dan bekas Perdana Menteri itu yang menentukan bila wang berkenaan disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, berkata keputusan meluluskan permohonan SRC International untuk mendapatkan Jaminan Kerajaan bagi pembiayaan RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), menjadikan Najib memiliki akses kepada lebih banyak dana dalam syarikat pelaburan strategik itu.

Beliau berkata, adalah perlu untuk ditekankan bahawa Najib memiliki kepentingan dalam SRC International dan menyertai mesyuarat Kabinet yang kemudian meluluskan Jaminan Kerajaan bagi pembiayaan itu.

Katanya, fakta dalam perbicaraan ialah kes menyalahgunakan kedudukan yang dihadapi Najib membabitkan pihak kerajaan dan SRC International, di mana tertuduh mengetuai kerajaan dengan mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC International yang dikendalikannya.

"Kelulusan Kabinet menguntungkan SRC yang dikendalikan oleh tertuduh sendiri... Tidak perlu ada pengaturan antara tertuduh dengan pihak lain supaya kepuasan diterima bagi membuktikan ada niat jenayah.

"RM42 juta yang diterima pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 adalah penyebab langsung penyertaan tertuduh dalam mesyuarat Kabinet. Jumlah itu adalah 'kepuasan' seperti yang dinyatakan dalam tuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

"Saya meragui bahawa tertuduh boleh dianggap sebagai seorang pegawai dalam SRC International dan wakil kepada kerajaan.

"Saya juga mendapati dalam apa jua keadaan, pembelaan tertuduh tidak terpakai kerana gagal menunjukkan bahawa tindakan beliau yang membawa kepada keputusan kerajaan untuk meluluskan dua jaminan bagi pembiayaan, dibuat demi kepentingan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman ringkasnya yang mendapati Najib bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik SRC International.

Mohd Nazlan berkata, pembelaan Najib tidak memberikan perkara baharu dan ia tidak dapat mengubah penemuan di akhir kes pendakwaan bahawa tindakannya bukan untuk memajukan kepentingan nasional.

Katanya, fakta bahawa Najib menggunakan SRC International sebagai 'kenderaan' untuk faedah peribadi dan meningkatkan kuasa terhadap syarikat itu, tidak pernah dinafikan pihak pembelaan.

Beliau berkata, penyertaan tertuduh dalam mesyuarat Kabinet yang meluluskan Jaminan Kerajaan itu adalah penyebab langsung baginya mendapatkan lebih banyak lagi dana pada bila-bila masa.

Mohd Nazlan berkata, tidak dapat disangkal bahawa proses dan urusan di KWAP, Kementerian Kewangan dan Kabinet walaupun dilakukan dengan tergesa-gesa, adalah mengikut peraturan.

Beliau berkata, apa yang ditimbulkan ialah pembiayaan dan Jaminan Kerajaan itu tidak akan diberi tanpa siri tindakan oleh tertuduh melalui pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan, termasuk penyertaan beliau dalam mesyuarat Kabinet.

Katanya, pada setiap masa material, tertuduh memegang kedudukan lebih tinggi, justeru ada pengaruh ke atas pegawai terbabit dalam setiap keputusan mereka bagi memenuhi tujuan dan hasratnya.

"Tidak dinafikan bahawa kebenarannya ialah tertuduh meluluskan Jaminan Kerajaan itu selaku Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), iaitu pemegang saham dalam SRC International, tetapi Menteri Kewangan adalah MKD.

"Pada pandangan saya, ia bukan kes di mana pegawai kanan berkenaan mematuhi arahan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, jelas bahawa mereka menganggap pengaruh tertuduh cukup dominan sehingga memastikan Panel Pelaburan KWAP juga dimaklumkan mengenai pendirian beliau.

"Oleh itu, selepas meneliti pembelaan tertuduh dan menimbangkan semua pembelaan dalam kes ini, saya mendapati pihak pembelaan tidak berjaya menangkis andaian mengikut Seksyen 23(2) Akta SPRM dalam imbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan membabitkan tuduhan salah guna kedudukan," katanya.

Berita Harian X