Selasa, 28 Julai 2020 | 5:23pm

Noor Hisham sedih tiada kawalan kendiri di kompleks mahkamah

KUALA LUMPUR: "Sedih bila melihat keadaan begini, tiada kawalan kendiri," luah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika merujuk himpunan orang ramai tanpa mematuhi penjarakan sosial di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham menerusi laman Twitter beliau, membalas ciapan Bernama @bernamadotcom pada 3.10 petang tadi berkenaan satu berita bertajuk 'Ahli Parlimen bimbang wujud kluster baharu'.

"Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan.

"Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri," katanya.

Setakat 4.10 petang, ciapan itu mendapat ciapan semula daripada hampir 9,000 warganet serta lebih 6,000 komen.

Berita 'Ahli Parlimen bimbang wujud kluster baharu' itu merujuk kepada usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang membangkitkan isu perhimpunan orang ramai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Gambar-gambar yang memaparkan orang ramai berhimpun tanpa mematuhi penjarakan sosial dan pematuhan SOP termasuk memakai pelitup muka dengan betul di luar kompleks mahkamah itu tersebar di media sosial dan media dalam talian arus perdana.

Keadaan sesak itu menyebabkan polis terpaksa menggunakan pembesar suara untuk mengingatkan orang ramai yang hadir sejak awal pagi untuk mengikuti keputusan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya mematuhi SOP dan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan pandemik COVID-19. – BERNAMA

Himpunan penyokong mengiringi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini mengabai aspek penjarakan sosial.
Himpunan penyokong mengiringi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini mengabai aspek penjarakan sosial.
Berita Harian X