Selasa, 28 Julai 2020 | 3:41pm
Polis menasihatkan penyokong Datuk Seri Najib Razak patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19, ketika berhimpun di luar Kompleks Kuala Lumpur- Foto NSTO
Polis menasihatkan penyokong Datuk Seri Najib Razak patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19, ketika berhimpun di luar Kompleks Kuala Lumpur- Foto NSTO

Penyokong Najib berdepan kompaun RM1,000 jika ingkar patuhi SOP

KUALA LUMPUR: Polis akan mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 jika penyokong Datuk Seri Najib Razak terus ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19, ketika berhimpun di luar Kompleks Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata setakat ini, keadaan masih terkawal dan orang awam didapati memakai pelitup muka serta amalkan penjarakan sosial selepas diingatkan beberapa kali oleh anggota polis.

"Kita membuat beberapa siri hebahan supaya mereka patuh SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari segi penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial.

"Awalnya mereka tidak mengendahkan arahan polis, tapi selepas berulang arahan diberikan, mereka mula patuh.

"Setakat ini keadaan di sini terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shanmugamoorthy, berkata kira-kira 200 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dikerahkan ke kawasan kompleks itu, hari ini bagi mengawal keadaan semasa.

"Sebanyak dua sekatan jalan raya juga dilaksanakan di laluan masuk mahkamah.

"Kita nasihatkan supaya semua pihak menjaga SOP ini walaupun selepas Najib keluar dari mahkamah. Kita tidak mahu wujud kluster baru di sini (mahkamah).

"Kita juga tidak mahu ambil tindakan drastik kerana tidak mahu dilihat sebagai pencetus provokasi sebab itu kita amal nasihat tetapi tegas," katanya.

Berita Harian X