Isnin, 27 Julai 2020 | 1:41pm

'Kelab kayangan' langgar PKPP

KUALA LUMPUR: Bahaya jangkitan COVID-19 yang meningkat sejak kebelakangan ini, nyata tidak dihiraukan segelintir pihak apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa.

Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati, larangan operasi sepanjang tempoh PKPP ini, nyata tidak diendahkan premis hiburan eksklusif di tengah ibu kota ini, apabila terus beroperasi hingga awal pagi sambil menyediakan khidmat pelayan.

Kedudukan premis hiburan di bangunan tinggi mungkin menjadi punca pengusahanya tidak bimbangkan pemeriksaan pihak berkuasa, apatah lagi laluan lif dan pintu masuk dikawal ketat petugas keselamatan pemilik bangunan.

Semakan mendapati, ada lebih 10 premis dan kelab hiburan yang beroperasi atas nama restoran dan bistro, menjalankan aktiviti mereka di atas bumbung beberapa bangunan sekitar ibu negara.

Untuk membuktikan keadaan itu, wartawan BH membuat tinjauan selama dua hari terhadap sebuah kelab hiburan elit yang beroperasi di aras bumbung sebuah bangunan pencakar langit di ibu kota.

Untuk memasuki kelab yang dipercayai beroperasi atas permit bistro dan restoran ini, pengunjung perlu menggunakan tiga lif berbeza.

Malah pengunjung premis itu juga perlu melalui pemeriksaan diri dan bagasi oleh pasukan keselamatan pemilik bangunan terbabit, selain diwajibkan memakai pelitup muka.

Dari tingkat bawah atau lobi, pengunjung perlu menaiki lif ke tingkat pemeriksaan keselamatan sebelum menggunakan dua lagi lif ke tingkat yang menempatkan premis hiburan itu.

Sebaik melangkah masuk tingkat yang menempatkan kelab berkenaan, pengunjung diminta menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengisi butiran diri sebelum masuk ke dalam premis.

Tinjauan selama lebih tiga jam mulai 9.50 malam mendapati, lebih 200 pengunjung berada dalam premis berkenaan dan keadaan semakin sesak apabila bilangan pengunjung bertambah ramai menjelang jam 12 tengah malam.

Rata-rata pengunjung membanjiri kelab terbabit adalah golongan berusia usia 30-an ke atas, terdiri daripada warga tempatan dan asing.

Pada masa sama, kelihatan beberapa wanita warga asing berpakaian seksi, bergerak dari satu meja ke satu meja lain, menawarkan khidmat peneman minum kepada pengunjung lelaki yang datang sendirian atau berkumpulan ke situ.

Walaupun syarat pemakaian pelitup muka dan pengambilan suhu dilakukan di pintu masuk, namun sejurus berada di dalam premis terbabit, tiada lagi SOP penjarakan sosial dipatuhi semua pengunjungnya.

Selain premis beroperasi hingga awal pagi, pelanggan yang saling bercumbuan dan berpelukan dengan teman dibawa atau pelayan sosial yang ditemui di situ, suasana semakin bingit dengan alunan muzik kuat yang dimainkan.

Mungkin untuk mengaburi pihak berkuasa, pengurusan premis menutup laluan menaiki lif walaupun sebenarnya masih beroperasi serta membenarkan pengunjung tetap masuk selepas jam 12.30 malam.

Hasil perbualan dengan seorang petugas pusat hiburan elit itu ketika tinjauan malam kelmarin, dia mengaku premis itu dibuka sehingga jam 2.30 pagi, bergantung kepada jumlah pelanggan yang masuk ke situ.

Wanita itu mendakwa, pengurusan pusat itu boleh mengetahui dengan mudah jika sebarang pemeriksaan mahu dilakukan pihak berkuasa kerana akan dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang berada di tingkat bawah bangunan.

Beliau mengakui, premis itu sedia beroperasi hingga lewat pagi demi memenuhi kehendak pelanggan kenamaan yang sedia berbelanja besar mencecah ribuan ringgit semalaman.

Menurutnya, ada ketika premis itu menampung sehingga 300 orang pelanggan dalam satu masa yang datang berhibur di situ bersama rakan-rakan.

BH mendapati, pengurusan dan pengunjung premis terbabit mungkin beranggapan 'kelab kayangan' itu kebal daripada pemeriksaan pihak berkuasa kerana kedudukannya yang sukar dikesan.

Namun, pemilik bangunan seharusnya lebih peka serta melakukan pemantauan terhadap ruang disewakan mereka.

Petugas keselamatan yang menjaga bangunan, sepatutnya menjadi mata dan telinga membantu pihak berkuasa menguatkuasakan SOP ketika PKPP ini, tetapi kelihatannya menjadi tali barut perbuatan melanggar undang-undang di situ.

Berita Harian X