Isnin, 27 Julai 2020 | 12:03pm

RM8.5 bilion kutipan hasil JPJ untuk dua tahun

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip RM8.5 bilion hasil bukan cukai bagi tahun 2018 dan 2019, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya, JPJ tidak mengutip hasil daripada sumber cukai, sama ada cukai langsung mahupun tidak langsung sebaliknya kutipan hasil jabatan berpunca daripada sumber hasil bukan cukai.

Kutipan hasil JPJ berpunca daripada sumber hasil bukan cukai seperti pembayaran fi perkhidmatan pengeluaran lesen memandu, fi perkhidmatan urus niaga pendaftaran baharu kenderaan motor, fi dikenakan ke atas pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda atau saman.

Jumlah kutipan hasil keseluruhan JPJ pada tahun 2018 adalah RM4.2 bilion manakala pada tahun 2019 pula adalah berjumlah RM4.3 bilion.

"Daripada jumlah hasil kedua-dua tahun berkenaan, hasil yang dikutip daripada saluran di Kaunter Fizikal JPJ adalah berjumlah RM5.02 bilion bersamaan 58.82 peratus," katanya menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (Seremban-DAP) mengenai jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut JPJ pada 2018 dan 2019.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Ka Siong menjelaskan, perkhidmatan Kaunter fizikal JPJ disediakan di lima JPJ Negeri; 65 di JPJ Cawangan dan 19 di JPJ UTC.

Bagi saluran Online MySIKAP, JPJ pula membabitkan perkhidmatan di kiosk, Portal JPJ dan Perkhidmatan Bidaan Atas Talian atau JPJ e-BID.

"Dalam tempoh sama, sejumlah RM329 juta bersamaan 3.8 peratus dikutip menerusi saluran Online MYSIKAP JPJ dan sejumlah RM3.19 bilion atau 37.33 peratus pula dikutip menerusi saluran online oleh pihak syarikat swasta.

"Perkhidmatan yang disediakan menerusi Saluran Online Syarikat Swasta adalah termasuk saluran Perkhidmatan e-Khidmat (myEG), POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM, Touch'N'Go, e-Payment, e-Daftar, Fi Konsesi PUSPAKOM dan Perbankan Internet," katanya.

Menjawab soalan tambahan Loke mengenai sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) atau memberikan diskaun pengurangan Fi bayaran pembaharuan lesen, Ka Siong berkata, pembaharuan LKM boleh diteruskan tetapi hanya bayaran yang ditangguhkan hingga 31 Ogos ini dan orang ramai diberi masa buat bayaran hingga 30 September.

"Mengenai diskaun perkara itu bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, cadangan itu akan di bawa kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Pengarah JPJ KL, Datuk Ismail Mohd Zawawi melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan JPJ selepas Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). - Foto fail NSTP/Aswadi Alias
Pengarah JPJ KL, Datuk Ismail Mohd Zawawi melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan JPJ selepas Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). - Foto fail NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X