Sabtu, 25 Julai 2020 | 3:20pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kutipan Dana Van Pasti selepas Majlis Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa kali ke-42 di Dewan Pak Lah Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa. -Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kutipan Dana Van Pasti selepas Majlis Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa kali ke-42 di Dewan Pak Lah Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa. -Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kerajaan belum putuskan cadangan RCI Tabung Haji

KOTA BHARU: Kerajaan belum memutuskan bentuk siasatan, sama ada mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau hanya siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdahulu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas dibawa ke Kabinet.

Bagaimanapun, katanya semua maklumat yang disampaikan sama ada melalui perbahasan Ahli Parlimen atau memorandum yang dihantar akan diteliti secara terperinci sebelum keputusan sewajarnya dibuat.

"Siasatan dalaman secara rasmi belum kita umum, namun saya dan menteri sudah beberapa kali memanggil pihak TH untuk mencari formula dan solusi sesuai kepada masalah berbangkit, selain kenal pasti fakta yang dibangkitkan sama ada benar atau tidak.

"Kita ambil cakna kesemua dakwaan dan fakta bagi memudahkan tindakan seterusnya diambil. Soal RCI walaupun banyak cadangan daripada Ahli Parlimen, setakat ini belum diputuskan.

"RCI adalah keputusan besar dan perlu dibawa ke kabinet sebelum diputuskan oleh Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk memberi jaminan aset Tabung Haji dan masa depan pendeposit 9.3 juta akan dijaga sebaik mungkin walaupun tanpa pengumuman RCI.

"Kerajaan juga akan tentukan hala tuju yang jelas kepada pengurusan dan pentadbiran TH yang membabitkan soal penstrukturan aset serta barangkali anak syarikat yang tidak cemerlang akan dibuat penstrukturan dari segi hutang mereka semula, bagi menjadikan syarikat itu berdaya saing.

"Kita ada kerangka jelas bagi memastikan aset dan pendeposit selamat," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.

Berita Harian X