Jumaat, 24 Julai 2020 | 9:12pm
MESYUARAT Pegawai Kanan Luar Biasa Secara Maya Kedua (VESOM 2).
MESYUARAT Pegawai Kanan Luar Biasa Secara Maya Kedua (VESOM 2).

MRT APEC akan bersidang secara maya Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Pemimpin perniagaan dari seluruh Asia Pasifik akan membentangkan laporan COVID-19 Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Pengerusi ABAC, Datuk Rohana Mahmood, berkata laporan itu mengandungi cadangan untuk bertindak balas terhadap impak langsung pandemik itu dan pelan pemulihan serta daya tahan ekonomi di rantau ini.

MRT APEC akan bersidang secara maya pada Sabtu ini, bagi membincangkan cabaran yang perlu diatasi pasca COVID-19 dan langkah pemulihan segera.

Rohana berkata, bagi mengatasi impak langsung pandemik itu, ABAC menggariskan keperluan bagi memastikan pasaran untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan tetap terbuka.

"Pandemik global memerlukan tindak balas segera yang diselaraskan. Dalam dunia yang sangat bersepadu dan saling berkaitan, adalah tidak mungkin bagi sesebuah negara berusaha menangani pandemik secara bersendirian.

"Pasaran terbuka dan tanpa diskriminasi akan memastikan bahawa barangan dan perkhidmatan dapat menjangkau di pasaran yang mendesak.

"Begitu juga dengan pelaburan berterusan di rantau ini akan menjadi elemen penting dalam mengatasi kejatuhan ekonomi akibat pandemik tersebut.

"Kita harus memperhebatkan usaha untuk meningkatkan kewangan dan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro dalam perdagangan antarabangsa melalui persekitaran dan pengembangan keupayaan yang lebih mantap bagi transformasi digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandemik COVID-19 menekankan betapa pentingnya perhubungan digital yang mantap untuk mempromosikan penyertaan ekonomi dan mendorong pertumbuhan yang inklusif.

Rohana berkata, ekonomi APEC harus mendorong pembangunan infrastruktur digital yang lebih selamat, mudah diakses dan berpatutan untuk semua serta aliran data percuma dan selamat merentasi sempadan.

"Harus ada komitmen untuk berkongsi penemuan penyelidikan dan penyelesaian vaksin secara percuma dengan asas terbuka.

"Perdagangan perlu memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi. Ketika ini, kita perlu liberalisasi perdagangan dan pelaburan.

"Semua pihak perlu mengingatkan diri bahawa usaha pasaran terbuka di rantau ini telah mengangkat berjuta orang keluar daripada kemiskinan dan tidak membelakangkan globalisasi," katanya.

Rohana berkata, ekonomi APEC mesti bekerjasama untuk merancang pembukaan semula sempadan.

ABAC katanya, mencadangkan penubuhan sementara badan penyelarasan APEC secepat mungkin untuk memberi panduan kepada pembukaan semula sempadan secara teratur dan pengembangan protokol kuarantin.

Katanya, ABAC akan bekerjasama untuk berkongsi maklumat dan menilai data yang ada berdasarkan kriteria yang dipersetujui.

Ini bagi membolehkan semua ekonomi APEC menilai bila dan bagaimana pembukaan sempadan serta menyambung semula sepenuhnya ekonomi lain dengan selamat.

Berita Harian X