Khamis, 23 Julai 2020 | 12:16pm
Lebuhraya Pan Borneo. - Foto fail
Lebuhraya Pan Borneo. - Foto fail

Kaedah konvensional Pan Borneo beri kesan pembangunan kontraktor Bumiputera

KUALA LUMPUR: Pertukaran kaedah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo kepada konsep konvensional boleh merencatkan hasrat untuk membangunkan kontraktor Bumiputera yang melaksanakan projek berskala besar.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pendekatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang digunakan dalam pembinaan projek itu sebelum ini memperuntukkan 30 peratus daripada keseluruhan kerja diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

Bagaimanapun, katanya, kuota Bumiputera itu tidak diperuntukkan dalam kaedah pelaksanaan berteraskan konvensional, meskipun kerajaan mengakui ia dijangka memberikan penjimatan sehingga RM3.1 bilion.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Bawah konsep PDP, apa yang dihasratkan kerajaan terdahulu ialah kita kenal pasti kontraktor Bumiputera berkemampuan untuk buat projek berskala besar di Sabah dan Sarawak.

"Kepakaran itu akan memberi manfaat kepada kontraktor, khususnya dari Semenanjung yang tiada pengalaman, sebab itu banyak JV (usaha sama) diwujudkan.

"PDP ialah untuk bangunkan kontraktor Bumiputera apabila 30 peratus daripada keseluruhan projek diberikan kepada syarikat Bumiputera, malah menerusi konsep ini, kita sudah wujudkan unit khusus untuk pantau apa yang dihasratkan kerajaan dapat dicapai.

"Sekarang, kita tidak pasti sekiranya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah atau Sarawak ada unit khusus memantau pembabitan kontraktor Bumiputera supaya mereka dapat belajar projek berskala besar," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BEBAS-Sri Gading) mengenai status pelaksanaan agenda Bumiputera menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo.

Sehubungan itu, Fadillah berkata, kementerian akan mengendalikan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti, sama ada pertukaran projek kepada kaedah konvensional memberi kesan kepada hasrat kerajaan sebelum ini.

Katanya, penekanan berhubung perkara itu akan terarah kepada kepentingan kontraktor G1 dan G2 supaya pengalaman daripada pembangunan projek berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo berupaya memberi kesan limpah sewajarnya.

"Selain daripada 30 peratus diberikan kepada kontraktor Bumiputera, kita juga ingin tangani isu berkaitan peluang pekerjaan susulan pertukaran kaedah daripada PDP kepada konvensional," katanya.

Berita Harian X