X
Rabu, 22 Julai 2020 | 6:12pm

Malaysia mohon tiga individu tunai haji

KLANG: Malaysia sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan tiga individu dari negara ini menunaikan ibadat haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkata tiga individu terbabit adalah kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berada di sana.

"Kita sudah menghantar surat untuk memohon tiga wakil daripada TH yang berada Jeddah menunaikan haji bagi membolehkan laporan mengenai pelaksanaan ibadat haji ketika COVID-19 dibuat.

"Situasi COVID-19 yang begitu serius menyebabkan pemerintah kerajaan Arab Saudi mengehadkan jemaah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Is'ad Al–Usrah & Sumbangan Keluarga Asnaf' di Jalan Kapar, di sini hari ini.

Difahamkan surat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi dihantar minggu lalu.

BH semalam melaporkan kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang bermula 29 Julai ini, dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa negara itu mengumumkan ibadat haji yang sebelum ini biasanya dihadiri lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, dilaksanakan dalam suasana protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Menurut agensi berita SPA, kemuncak ibadat haji iaitu wukuf di Arafah jatuh pada 30 Julai ini.

Terdahulu, Zulkifli menyantuni keluarga asnaf yang menerima bantuan baik pulih rumah serta bantuan perabot bernilai RM10,000 sumbangan YADIM.

"Kita cuba sedaya upaya membantu keluarga asnaf yang memerlukan bantuan dan akan mengerahkan agensi di bawah kementerian untuk melaksanakan program seumpama ini yang dilihat mampu meningkatkan taraf hidup golongan asnaf," katanya yang turut menghulurkan sumbangan peribadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga dari kiri) diiringi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasruddin Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Rosmah Osman (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran YADIM Peduli: Is'Ad Al-Usrah dan Sumbangan Keluarga Asnaf di Lorong Haji Amin, Kapar. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga dari kiri) diiringi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasruddin Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Rosmah Osman (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran YADIM Peduli: Is'Ad Al-Usrah dan Sumbangan Keluarga Asnaf di Lorong Haji Amin, Kapar. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X