Rabu, 22 Julai 2020 | 6:04pm
Seramai 3 petugas TH menunggu kebenaran menunaikan haji dan membuat kaji selidik perjalanan haji ketika penularan COVID-19. Foto NSTP/hiasan
Seramai 3 petugas TH menunggu kebenaran menunaikan haji dan membuat kaji selidik perjalanan haji ketika penularan COVID-19. Foto NSTP/hiasan

Malaysia mohon Arab Saudi benarkan 3 petugas TH tunai haji

KLANG: Malaysia sudah menghantar surat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan tiga individu dari negara ini menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkata tiga individu terbabit adalah kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berada di sana.

"Apa yang diberitakan mengenai 1,000 orang itu (dibenarkan mengerjakan haji) adalah keseluruhan penduduk dunia, warga negara dunia yang berada di Arab Saudi.

"Kita sendiri sudah menghantar satu surat untuk memohon tiga orang wakil daripada Tabung Haji yang berada di sana (Jeddah, Arab Saudi) membuat laporan, menunaikan haji di samping membuat sedikit kaji selidik bagaimana pelaksanaan ibadah haji ketika penularan COVID-19 ini.

"Kita faham Arab Saudi dengan kebijaksanaan pemerintah mereka, situasi COVID-19 yang begitu tinggi menyebabkan mereka mengehadkan (jemaah) tetapi untuk menegakkan syiar agama Allah, haji tetap diadakan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) - YADIM Peduli: Is'ad Al–Usrah & Sumbangan Keluarga Asnaf' di Jalan Kapar, hari ini.

Zulkifli berkata, laporan mengenai pelaksanaan haji ketika penularan COVID-19 akan diberitahu kelak sebaik menerima maklum balas daripada kakitangan TH di sana.

Difahamkan surat permohonan terbabit sudah dihantar minggu lalu kepada Kerajaan Arab Saudi.

Semalam, Berita Harian melaporkan kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang saja bermula 29 Julai ini, dengan melaksanakan SOP ketat bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa negara itu mengumumkan ibadah haji yang sebelum ini biasanya dihadiri lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, dilaksanakan dalam suasana protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Terdahulu, beliau melawat keluarga asnaf yang menerima bantuan bagi membaik pulih rumah yang rosak serta bantuan perabot bernilai RM10,000 sumbangan YADIM.

Berita Harian X