Rabu, 22 Julai 2020 | 3:41pm
Pekerja restoran, Mohd Mustaqim Mohamad meletakan kerusi bertanda pangkah untuk penjarakan sosial, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS.
Pekerja restoran, Mohd Mustaqim Mohamad meletakan kerusi bertanda pangkah untuk penjarakan sosial, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS.

COVID-19: 75 ditahan langgar SOP

PUTRAJAYA: Seramai 75 individu ditahan semalam selepas didapati terbabit dengan aktiviti kehadiran orang ramai dan menyukarkan penjarakan sosial serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga daripada mereka ditahan reman, manakala 72 lagi dikenakan tindakan kompaun.

Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam pula menjalankan sebanyak 61,246 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,645 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 10,948 anggota menjalankan pemantauan di 3,689 pasar raya, 5,588 restoran serta 1,621 penjaja, 1,239 kilang, 3,673 bank dan 857 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,080 terminal pengangkutan darat, 321 terminal pengangkutan air serta 130 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng yang diadakan semalam pula menahan tiga warganegara asing yang didapati melakukan kesalahan imigresen.

Katanya, semalam, sebanyak 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng dijalankan di seluruh negara dan memeriksa 31,985 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 1,944 PATI, 560 tekong serta 121 penyeludup ditahan, manakala sebanyak 73 bot serta 201 kenderaan yang terbabit dalam percubaan mencerobohi sempadan negara, turut dirampas.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang kegiatan kemasukan atau pencerobohan PATI ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X