Rabu, 22 Julai 2020 | 2:44pm
Orang ramai dikesan mengabaikan SOP dengan tidak mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam. Foto NSTP/Gambar hiasan
Orang ramai dikesan mengabaikan SOP dengan tidak mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam. Foto NSTP/Gambar hiasan

Polis mula kompaun RM1,000 langgar SOP

SUNGAI PETANI: Mulai hari ini, polis tidak lagi memberi nasihat atau amaran kepada orang ramai atau pemilik premis yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan.

Mereka yang didapati tidak mematuhi SOP atau mengabaikan langkah pencegahan ditetapkan kerajaan akan dikompaun RM1,000.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata tindakan tegas itu terpaksa diambil berikutan masyarakat mula mengabaikan pematuhan SOP.

"Kita bimbang melihat ramai yang tidak mematuhi SOP dan ini dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan kes COVID-19," katanya di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Kuala Muda, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya bimbang kes harian COVID-19 terus meningkat terutama membabitkan penularan dalam negara. Jumlah kes aktif semalam meningkat kepada 130, melebihi 100 yang dicatatkan pada 19 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, pemantauan polis di beberapa lokasi antaranya premis makanan, perniagaan, masjid dan rumah ibadat, stesen pengangkutan awam, majlis keraian, tempat riadah dan pusat tumpuan lain mendapati orang ramai mulai mengabaikan aspek penjarakan sosial.

Katanya, antara aspek pelanggaran SOP yang dikesan ialah tiada laluan keluar masuk yang ditetapkan pada premis tertentu, tiada kod QR atau mengambil butiran pelanggan seperti pemeriksaan suhu badan, nama dan nombor telefon. Orang ramai juga dikesan tidak mengamalkan penjarakan sosial terutama di tempat awam selain ibu bapa tidak mengawal pergerakan anak-anak daripada bercampur dengan individu yang lain.

Berita Harian X