Ahad, 19 Julai 2020 | 1:01pm
 - Foto hiasan NSTP
- Foto hiasan NSTP

ABIM sokong tak laksana PPSMI, gesa mansuh DLP

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak memperkenalkan semula Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Badan bukan kerajaan (NGO) itu juga menggesa kerajaan memansuhkan Program Dwibahasa (DLP), yang dilihat sengaja mewujudkan perlumbaan antara bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata keputusan KPM berhubung PPSMI adalah tepat, melihat kepada beberapa hasil kajian terhadap dasar itu yang secara jelas menyumbang kepada kemerosotan pencapaian pelajar.

Antara kajian itu, katanya, yang dilaksanakan Jemaah Nazir Persekutuan KPM membabitkan 1,942 murid Tahun Lima dari 56 sekolah, jelas menunjukkan pencapaian mereka merosot, selain ada yang merudum dengan drastik apabila naik ke tahun lebih tinggi.

"Kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) membabitkan 90 sekolah rendah pula mendapati mata pelajaran Sains menyumbang peningkatan penguasaan bahasa Inggeris hanya 0.7 peratus, manakala Matematik tiada langsung sumbangan untuk tujuan itu.

"Selain itu, hasil ujian antarabangsa Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) 2007 ketika pelaksanaan PPSMI, menunjukkan kedudukan Malaysia menjunam kepada kumpulan satu pertiga terbawah, berbanding TIMMS 1999 dan 2003, Malaysia dalam kelompok 10 terbaik daripada 58 negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, menerusi jawapan bertulis kepada William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat, memaklumkan KPM tidak berhasrat memperkenalkan semula PPSMI.

Berhubung DLP, Muhammad Faisal berpandangan dasar yang memberi pilihan untuk sekolah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, menyebabkan dasar bahasa kebangsaan dalam pendidikan negara terpesong daripada landasan.

Katanya, adalah tidak masuk akal untuk kerajaan memberi autonomi kepada sekolah, ibu bapa dan guru untuk memilih antara PPSMI, DLP atau Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), kerana bertentangan dengan misi mendaulatkan bahasa Melayu.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan DLP akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan yang sama.

"Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan satu penganiayaan terhadap pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya.

"Konflik bahasa dan perlembagaan yang berlaku di Hong Kong dan Belgium serta kegagalan negara peminjam akut bahasa Inggeris di Afrika, wajar dijadikan sempadan supaya perkara yang sama tidak terjadi di negara ini.

"Komitmen China membuka pengajian bahasa Melayu serta keteguhan Korea dan Jepun mempertahankan bahasa ibunda mereka perlu diteladani," katanya.

Berhubung pemantapan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, Muhammad Faisal berpandangan KPM perlu memantap dan mengemaskini pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, dan bukan menerusi pengajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"ABIM menegaskan, pengukuhan kurikulum bahasa Inggeris boleh dilaksanakan berdasarkan 'Common European Framework of Reference for Languages' (CEFR), yang dikatakan sesuai untuk penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, manakala pengetahuan pedagogi kandungan (PCK) disiplin bidang bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dalam kalangan guru bahasa Inggeris," katanya.

Berita Harian X