Ahad, 19 Julai 2020 | 12:27pm

Usah jadikan DBP sekadar tukang tegur, nasihat - ABIM

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wajar mempunyai lebih tanggungjawab dan peranan penguatkuasaan, berbanding sekadar menjadi 'tukang tegur atau 'tukang nasihat'.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal bin Abdul Aziz, berkata langkah itu penting bagi menjamin kelangsungan dan kewibawaan badan berkanun yang ditubuh pada 22 Jun 1956 itu.

"ABIM menyambut positif usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

"Seperti yang kita sedia maklum, ia adalah medium penting memperkukuhkan peranan institusi, seterusnya mampu memartabat bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan rakyat.

"ABIM menyokong sebarang usaha bagi menyatukan undang-undang berhubung dengan penggunaan bahasa kebangsaan, dalam memastikan penggunaan bahasa dibuat secara betul," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Faisal berkata Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan (ABK) atau dikenali sebagai Akta 32 menetapkan bahawa semua urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

Bagaimanapun, beliau berkata, hakikatnya bahasa Melayu belum diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara lain.

"Sehingga ke hari ini, masih wujud program rasmi dijalankan oleh pihak kerajaan yang meminggirkan bahasa kebangsaan.

"Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152, Akta 32, Akta DBP dan Akta Pendidikan (1961, Pindaan 1996) seharusnya menjadi lunas undang-undang negara dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke landasan yang sewajarnya.

"Dalam sektor pendidikan, Program Dwibahasa (DLP), pengajaran mata pelajaran berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), dan arahan penggunaan bahasa Inggeris dalam sesi kuliah di universiti bagi jurusan sains dan teknologi, perubatan, undang-undang serta kejuruteraan nyata merencatkan agenda menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam bidang ilmu serta pendidikan," katanya.

Berita Harian X