Khamis, 16 Julai 2020 | 5:56pm

RM100 juta diperuntukkan untuk Skim Pemulihan Perniagaan Tekun

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada Tekun Nasional melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu usahawan mikro yang terjejas perniagaannya akibat COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata melalui TBRS yang mula dibuka permohonannya sejak Isnin lalu, dianggarkan seramai 10,000 usahawan mikro dapat memperoleh manfaat melalui skim berkenaan dengan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar faedah 3.5 peratus setahun.

"Sejak dibuka Isnin, sebanyak 894 permohonan diterima dengan jumlah pinjaman bernilai RM8.7 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 38 permohonan sudah diluluskan membabitkan pembiayaan RM302,000.

"Melalui skim ini, usahawan yang diluluskan permohonan akan diberikan tempoh moratorium selama enam bulan daripada tarikh kelulusan, " katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja rasmi ke Tekun Nasional, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata sebelum ini kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada Tekun Nasional bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro Tekun (CBRM).

Katanya, melalui CBRM, sebanyak 25,587 permohonan diluluskan sehingga Selasa lalu dengan nilai RM195.3 juta iaitu 97 peratus tahap pencapaian pelaksanaannya membabitkan penerima dari tiga industri iaitu perkhidmatan sebanyak 52 peratus, peruncitan (28 peratus) dan pembuatan (sembilan peratus).

"Secara keseluruhan, kerajaan sudah memperuntukkan RM300 juta melalui pakej PRIHATIN dan PENJANA kepada Tekun Nasional bagi merealisasikan hasrat untuk memperkukuhkan dan merangsang ekonomi.

"Bantuan PRIHATIN sebelum ini sudah dapat membantu pemilik gerai makanan dan minuman, perniagaan jahitan pakaian tempahan dan juga pengusaha mikro bengkel kereta," katanya.

Beliau berkata, kerajaan melihat wujudnya keperluan untuk mengkaji semula dasar bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang merangkumi aspek seperti sokongan latihan, sokongan untuk maju ke peringkat global dan penerapan amalan mengurus perniagaan dengan baik.

Katanya, kajian semula terhadap dasar yang mampu meningkatkan akses PKS mikro kepada pembiayaan kewangan juga perlu dikaji kerana kelazimannya pembiayaan diberikan berdasarkan kedudukan kredit seseorang peminjam.

"Bagaimanapun, pelbagai inovasi diwujudkan di negara lain dari segi membantu kewangan PKS seperti platform e-pinjaman, penggunaan data alternatif untuk menentukan kelayakan kredit, pelaksanaan e-pengilangan dan pembiayaan rantaian bekalan.

"Ada tiga perkara yang kita bincang iaitu kita nak semua ada akses untuk ini termasuk di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, selain melihat sektor tidak rasmi iaitu peniaga mikro yang tidak berdaftar dan pengembangan dari aspek jumlah kewangan berikutan pembiayaan tidak berbayarnya adalah rendah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tetap komited memberi bantuan kepada golongan peniaga PKS dan mikro, malah sudah memperuntukkan hampir RM3.2 bilion untuk membantu golongan itu antaranya melalui Geran Khas Prihatin(GKP) berjumlah RM2.1 bilion.

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun Nasional sebanyak RM700 juta di bawah PRIHATIN dan RM400 juta di bawah PENJANA.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima sumbangan usahawan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro Tekun (CBRM) Wilayah Persekutuan ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat TEKUN Nasional di Menara TEKUN, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima sumbangan usahawan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro Tekun (CBRM) Wilayah Persekutuan ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat TEKUN Nasional di Menara TEKUN, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X