Khamis, 16 Julai 2020 | 5:04pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Bantuan dana NTIS untuk syarikat pemula teknologi

KUALA LUMPUR: Syarikat pemula teknologi kini boleh mendapatkan bantuan dana dengan memohon menyertai National Technology & Innovation Sandbox (NTIS).

Melalui peruntukan dana RM100 juta bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), setiap syarikat pemula boleh memperoleh skim pembiayaan hingga RM4 juta.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menaruh keyakinan bahawa peruntukan dana berkenaan mampu mempercepatkan pembangunan penyelesaian teknologi baharu.

"NTIS dilihat berupaya menyelesaikan permasalahan berkaitan masyarakat seperti peningkatan pengangguran, kebergantungan pada tenaga kerja asing, ketahanan rantaian bekalan tempatan, keselamatan makanan dan kesihatan, serta kepincangan infrastruktur digital.

"Bidang fokus utama terarah kepada isu berkaitan COVID-19 seperti penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kenaikan kadar pengangguran, penurunan kepenggunaan dan perbelanjaan swasta, kebergantungan tinggi pada tenaga buruh asing, serta keperluan peningkatan kemahiran bakat.

"Kerajaan percaya isu ini dapat ditangani menggunakan teknologi lebih maju dalam sektor utama seperti teknologi perubatan, pembuatan, pertanian, pendidikan, pelancongan dan perjalanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

NTIS diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) sebagai sekretariat utama, dibantu oleh Technology Park Malaysia (TPM), MIMOS Berhad, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Futurise Sdn Bhd.

Menjelaskan lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, empat jenis skim ditawarkan kepada syarikat pemula, iaitu 'Single Site Sandbox' dengan pembiayaan maksimum sebanyak RM250,000 dalam bentuk geran sepenuhnya.

"Multiple Site Sandbox' pula memperuntukkan pembiayaan maksimum RM500,000 dalam bentuk geran separa, iaitu 70 peratus untuk membiayai kos penyelesaian.

"Bagi tujuan pengkomersialan, pembiayaan maksimum ialah RM4 juta dalam bentuk dana hibrid, geran dan nota janji boleh ubah, manakala maksimum RM15 juta disediakan untuk padanan dana bersama pelabur atau syarikat korporat.

"Instrumen pembiayaan akan tertakluk kepada persetujuan antara MTDC, pelabur dan syarikat korporat terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar, berkata beberapa contoh projek perintis dikenal pasti menerusi NTIS, termasuk Farm Assist Robot for Multi Operation (FARMO), robot untuk digunakan dalam sektor pertanian, robot rehabilitasi di hospital dan robot linear bagi aplikasi industri.

Berita Harian X