Rabu, 15 Julai 2020 | 5:27pm
Dr Zulkifli (kanan) menerima memorandum mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Lembaga Tabung Haji daripada Dr Asyraf. - Foto ihsan Facebook Dr Zulkifli
Dr Zulkifli (kanan) menerima memorandum mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Lembaga Tabung Haji daripada Dr Asyraf. - Foto ihsan Facebook Dr Zulkifli

'Syor tubuh RCI TH akan diteliti'

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal) Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdahulu.

Iltizam itu disuarakan selepas menerima memorandum mendesak penubuhan (RCI) TH daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Sekalung penghargaan diucapkan kepada Dr Asyraf. Insya-Allah saya akan teliti dengan penuh adil dan amanah," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Kelmarin media melaporkan beberapa Ahli Parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.

Cadangan itu diutarakan Ahli Parlimen Baling daripada UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga bekas pengerusi TH, sewaktu bangun mencelah ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan mesyuarat Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, pada persidangan Dewan Rakyat.

Abdul Azeez dilaporkan berkata cadangan penubuhan suruhanjaya ini telah diutarakan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi menyiasat secara telus dan menjawab segala dakwaan berkaitan institusi kewangan umat Islam berkenaan.

Berita Harian X