Isnin, 13 Julai 2020 | 1:18pm
Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto fail NSTP/ Asyraf Hamzah
Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto fail NSTP/ Asyraf Hamzah

Nuklear Malaysia tawar latihan kepada industri terjejas COVID-19

KUALA LUMPUR: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menawarkan khidmat kepakaran aplikasi sains dan teknologi (S&T) nuklear dalam pelbagai sektor ekonomi dalam usaha meningkatkan kemahiran teknikal kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak tiga program ditawarkan merangkumi konsultasi dan kerjasama; khidmat kepakaran teknikal dan latihan.

"Hingga kini, sebanyak 50,988 peserta dilatih oleh Nuklear Malaysia. Nuklear Malaysia juga adalah penyedia latihan dalam bidang sains dan teknologi nuklear yang telah berdaftar di bawah HRDF (Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad) sejak 1996.

"Selain perkhidmatan kepada industri, Nuklear Malaysia juga menawarkan program latihan untuk aplikasi S&T nuklear dalam pelbagai bidang.

"Bidang berkenaan termasuk perubatan; industri dan pembuatan; pengurusan alam sekitar; pertanian serta keselamatan dan sekuriti nuklear termasuk sinar-X perubatan; penilaian tanpa musnah; instrumentasi dan kejuruteraan; keselamatan dan kesihatan sinaran.

"Justeru, program latihan ini dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan golongan belia," katanya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto fail NSTP/ Asyraf Hamzah
Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto fail NSTP/ Asyraf Hamzah

Wan Hassan meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan apakah program yang disediakan oleh Agensi Nuklear Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran teknikal berteraskan sains dan teknologi nuklear kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Mengenai kepakaran Nuklear Malaysia, Khairy menjelaskan ia merangkumi pelbagai sektor terutama sektor industri, pertanian dan perubatan.

Dalam bidang pertanian, katanya, Nuklear Malaysia memperkenalkan dua varieti baharu padi dikenali NMR151 dan NMR152 yang mempunyai tahap toleran tinggi terhadap penyakit serta keadaan cuaca tidak menentu di samping pengeluaran hasil tinggi.

Nuklear Malaysia bersedia berkongsi kepakaran yang dimiliki dalam penghasilan benih baharu tanaman dan kaedah pengurusan pertanian cekap dengan golongan petani dan peladang.

"Untuk sektor perubatan, Nuklear Malaysia mempunyai kepakaran menghasilkan radioisotop Samarium-153 untuk tujuan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser tulang dan lodin-131 untuk rawatan kanser tiriod. Kepakaran ini boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dalam kalangan pesakit kanser.

"Bagi sektor industri, loji Alurtron dan Sinagama di Nuklear Malaysia menyediakan perkhidmatan penyinaran bagi peralatan perubatan; produk farmasi; makanan; herba dan rempah; buah-buahan; kosmestik; silikon wafer dan kabel taut silang.

"Rumah Hijau Gamma (GGH) pula menyediakan khidmat penyinaran tumbuhan dan bahan kultur tisu untuk tujuan pembiakbakaan tumbuhan yang boleh dimanfaatkan oleh sektor pertanian negara," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X