Ahad, 12 Julai 2020 | 4:52pm
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Persiapan rapi pastikan murid selamat, selesa

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sekolah ditutup dan murid belajar di rumah. Pembukaan semula sekolah mulai Rabu ini dan 22 Julai menimbulkan beberapa persoalan dalam kalangan ibu bapa dan guru. Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim menjawab beberapa isu utama pada temu bual bersama wartawan BH, Mohd Feroz Abu Bakar dan Mahani Ishak.

Soalan (S): Sebahagian besar murid akan berada di sekolah mulai Rabu ini dan ada sesetengah tempat, kedudukan dua atau tiga sekolah menggunakan jalan yang sama. Pemeriksaan suhu mungkin menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. Mungkin sekolah ada cara mengatasi isu ini?

Jawapan (J): Sama ada sekolah itu berdekatan atau tidak, kadangkala ada sekolah yang padat murid. Jadi, kita khuatir murid datang pada pagi atau tengah hari akan mengalami kesesakan. Kita syor diadakan stesen ambil suhu lebih banyak, bukan satu atau dua, tetapi beberapa supaya mempercepat lagi murid masuk ke kawasan sekolah.

Kalau kita lihat kawasan bandar, sekolahnya hampir dengan jalan raya. Untuk menjaga keselamatan, kita benarkan ambil suhu dalam pagar, tetapi sebelum masuk ke bangunan kelas. Sebab kita perlu saring suhunya sebelum membenarkan mereka masuk ke dalam kawasan sekolah.

Kita juga beri fleksibiliti waktu masuk memulakan sekolah. Jika perlu, dijarakkan supaya kita boleh memudahkan lagi proses itu. Sekolah boleh bermula secara berperingkat. Begitu juga waktu pulang dan rehat. Kalau sekolah dua sesi, waktu masuk dan pulang kita minta supaya sekolah jarakkan.

S: Kementerian mendapati kaedah belajar di rumah dalam talian kurang berkesan. Boleh jelaskan keadaan ini?

J: Kita hendak supaya semua murid mendapat akses kepada pendidikan. Pendidikan yang kita maksudkan ialah yang ada di sekolah. Namun, apabila PKP berlaku, sekolah ditutup dan murid tidak dapat ke sekolah. Jadi bagaimana kita masih mahu adakan pendidikan bagi murid walaupun mereka tidak berada di sekolah.

Pembelajaran itu perlu diteruskan di rumah. Antara kaedah yang kita gunakan ialah melalui digital learning atau online learning, tetapi kita dapati ada perbezaan dari segi akses, jurang teknologi komunikasi dan rangkaian (liputan telekomunikasi). Antara dua hingga 10 peratus sahaja murid yang ada komputer peribadi, komputer riba atau tablet.

Guru dan petugas sekolah mempersiapkan kelas untuk sesi persekolahan yang akan dibuka mulai Rabu ini. - Foto hiasan/Faiz Anuar
Guru dan petugas sekolah mempersiapkan kelas untuk sesi persekolahan yang akan dibuka mulai Rabu ini. - Foto hiasan/Faiz Anuar

Peratusan lebih tinggi, iaitu 40 peratus yang mempunyai telefon bimbit, itu pun pelajar sekolah menengah. Pemilikan peranti murid sekolah rendah kurang sedikit dan mungkin berkongsi dengan ibu bapa. Apabila ada adik-beradik, mungkin lebih ramai di rumah perkongsian itu semakin sukar berlaku.

S: Bagaimana pula dengan kesediaan guru kepada kaedah mengajar dalam talian?

J: Kita dapati untuk pembelajaran di rumah, bukan satu kebiasaan bagi guru, murid atau ibu bapa. Kita ambil maklum bahawa tentu ada isu atau masalah pelaksanaan, digabung pula dengan akses kurang, isu peranti atau rangkaian.

Oleh itu, kita cuba mencari penyelesaian lain. Contohnya, peluasan TV pendidikan supaya lebih lama berbanding sebelumnya dua jam dengan RTM, tambah empat jam dengan Astro supaya lebih ramai yang dapat akses. Lebih 60 peratus mempunyai televisyen tidak kira di bandar atau luar bandar. Jadi akses itu lebih besar.

Kita juga ada kawasan yang sukar dihubungi, guru menghantar kerja sama ada guru sendiri atau kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, pejabat daerah atau mereka guna perantara ibu bapa atau komuniti, ada sekolah yang mungkin di kawasan pedalaman yang menggunakan konsep pandu lalu sebab kita tidak mahu kontak rapat. Ibu bapa tidak perlu turun daripada kenderaan, tetapi masih boleh dapatkan bahan daripada sekolah.

S: Bagaimana penerimaan murid terhadap pembelajaran dalam talian?

J: Pelbagai kaedah yang kita gunakan, tetapi sukar untuk menganggar kesan terhadap pembelajaran murid. Jadi dengan kekangan yang ada, kita tentu lebih selesa dan lebih menjamin pembelajaran itu jika murid kembali ke sekolah.

Justeru, kita mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan Pejabat Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah, pengetua, guru besar, guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengusaha sekolah swasta dan antarabangsa untuk mendengar pandangan bagaimana kita boleh buka semula sekolah.

Kebanyakannya sependapat kita perlu menjaga keselamatan dan kesihatan murid serta keseluruhan warga sekolah. Apabila kita mahu buka semula sekolah, tentu yang akhir keputusan itu dibuat dengan nasihat Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kita juga bawa garis panduan kepada mesyuarat khas Jemaah Menteri dan kemukakan cadangan untuk buka semula. Pelbagai siri perbincangan dilaksanakan supaya apabila sekolah dibuka semula kita mahu pastikan ia sudah diterima pelbagai pihak dan pada masa sama dapat menjamin keselamatan serta kesejahteraan murid.

Sekolah akan memastikan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dipatuhi bagi melancarkan sesi pembelajaran. - Foto hiasan/Mohd Fadli Hamzah
Sekolah akan memastikan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dipatuhi bagi melancarkan sesi pembelajaran. - Foto hiasan/Mohd Fadli Hamzah

S: Apa cadangan kementerian untuk mengatasi 'defisit' pembelajaran dalam kalangan murid?

J: Jika ada kekurangan dalam tempoh PKP, kita perlu gabung jalin pendekatan. Apabila berada di sekolah, bagaimana pendekatan guru dan apakah kerja atau pembelajaran yang perlu berlaku di rumah. Jadi perlu ada hibrid, iaitu di sekolah secara bersemuka dan juga di rumah.

Pendekatan itu bukan sahaja untuk murid yang perlu digilirkan, tetapi kita juga tahu tempoh untuk belajar bersemuka sudah jadi pendek sebab kita kekurangan masa dari mula PKP, iaitu 18 Mac hingga 24 Jun iaitu 52 hari, menyamai tempoh kira-kira 36 peratus pembelajaran yang perlu berlaku dalam tempoh berkenaan.

Ini bermakna, kita kena ambil kira masa pembelajaran pada tempoh yang ada ini hingga akhir tahun. Ini bermakna ada pembelajaran yang perlu berlaku di sekolah dan ada yang pembelajaran perlu murid lakukan di rumah juga. Walaupun mereka datang bersemuka di sekolah, kita boleh ubah suai yang dipanggil penjajaran kurikulum supaya apa-apa yang terdapat dalam kurikulum disesuai dan dijajarkan dengan tempoh yang ada ini.

Penjajaran itu bermaksud, ada tugasan yang guru berikan untuk murid buat di rumah dan apabila ke sekolah guru boleh lebih cepat menghabiskan sukatan.

S: Bagaimana pula perancangan jangka panjang bagi melengkapkan murid dengan pembelajaran dalam talian?

J: Kita memang ada aspirasi untuk pembelajaran digital sebab ini selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Kementerian tentu tidak mahu generasi masa depan ketinggalan. Jadi, kita memang bergerak ke arah itu dan pembelajaran digital menjadi fokus utama.

Namun, COVID-19 mempercepat lagi keperluan pembelajaran digital, berikutan murid tidak dapat bersekolah. Pada masa sama, pendekatan yang kita buat sebelum ini iaitu bekalkan komputer, peralatan dan rangkaian ke sekolah, tetapi ketika ini murid berada di rumah.

Peranti itu tidak berada bersama murid. Jadi mungkin antara yang kita lihat perbezaan berkaitan pembelajaran digital ini ialah bagaimana boleh mendapatkan akses lebih luas dalam peralatan serta rangkaian itu kepada murid.

S: Mungkin ada cadangan murid daripada keluarga miskin mendapat bantuan peralatan sesuai untuk pembelajaran?

J: Sukar untuk saya jawab kerana belum dapat apa-apa kelulusan, perlu melalui proses dan perbincangan tertentu. Namun, tentu sudah difikirkan pada masa yang sama, kalau kita lihat contohnya, kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin bandar, ramai yang terkesan dan perbelanjaannya tentu besar. Itu memerlukan banyak pertimbangan di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan. Itu yang sedang kita cuba usahakan.

S: Selepas UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) tahun ini dibatalkan, bagaimana sekolah mengukur pencapaian murid?

J: UPSR pada waktu diadakan dahulu untuk mengukur keberhasilan murid selepas melalui pendidikan peringkat rendah. Kita mahu tahu dari segi keberhasilan sama ada mereka mencapai penguasaan minimum pada akhir tempoh pendidikan rendah itu.

Namun, ada juga cara lain kita boleh mengukurnya, tidak hanya pada ujian akhir itu, tetapi sepanjang mereka berada pendidikan rendah. Itupun kita sudah dapat melihat perkembangan mereka. Jadi kementerian perlu membuat keputusan.

Kebanyakan ibu bapa dan orang awam memang tidak mahukan UPSR tahun ini sebab khuatir mungkin sebab kurang persediaan.

Sekolah akan menyediakan lebih banyak stesen saringan suhu badan bagi memudahkan perjalanan pelajar masuk ke kelas. - Foto hiasan/Mohd Fadli Hamzah
Sekolah akan menyediakan lebih banyak stesen saringan suhu badan bagi memudahkan perjalanan pelajar masuk ke kelas. - Foto hiasan/Mohd Fadli Hamzah

S: Apakah sekolah masih boleh mengadakan ujian sendiri?

J: Sekolah masih boleh melaksanakan apa jua bentuk penaksiran atau peperiksaan mereka sendiri. Bagaimanapun, kita tidak menggalakkan terlalu kerap peperiksaan. Tambahan pula dengan masa yang suntuk, sebab baru kembali ke sekolah.

Sekolah perlu mengambil kira sebelum ini murid belajar di rumah, baru kembali ke sekolah dan guru perlu memilih masa sesuai sebelum mengadakan penaksiran.

S: Bila pelajar kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) mendaftar?

J: Untuk program matrikulasi, kita sudah selesai pemilihan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki kolej matrikulasi dan IPG. Kita akan umumkan tidak lama lagi sebab sudah menyediakan garis panduan menguruskan pelaksanaan program matrikulasi dan IPG.

Dengan garis panduan itu, kita juga akan umumkan tarikh kemasukan ke kolej matrikulasi dan IPG. Sudah tentu kita mengambil kira ruang serta bilangan pengambilan pelajar yang akan masuk kelak. Garis panduan sudah ada, cuma perlu melalui proses dan banyak kolej matrikulasi sudah bersedia. Kita tunggu pengumuman kementerian.

Sesi pembelajaran dalam talian akan ditambah baik bagi memudahkan guru dan murid berinteraksi. - Foto hiasan/Mohd Yusni Ariffin
Sesi pembelajaran dalam talian akan ditambah baik bagi memudahkan guru dan murid berinteraksi. - Foto hiasan/Mohd Yusni Ariffin

Perbanyak kursus dalam talian

Putrajaya: Kementerian Pendidikan akan memperbanyakkan kursus dalam talian untuk guru kerana menjimatkan masa dan kos.

Pada masa sama, guru sedia ada lebih mahir dengan pembelajaran dan pengajaran dalam talian tanpa perlu meninggalkan sekolah atau rumah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata kurikulum guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) juga akan ditambah dengan elemen pembelajaran dalam talian kerana itulah kaedah pengajaran masa depan.

Beliau berkata, kurikulum di sekolah dan IPG sentiasa berkembang dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Katanya, kementerian itu mengambil kira keperluan digital untuk kira-kira 6,000 guru pelatih yang bakal memasuki 27 IPG tahun ini dan lebih 400,000 guru dalam perkhidmatan sekarang.

"Sebelum PKP, memang sudah banyak pembangunan profesional secara latihan dalam talian. Sekarang perlu mempergiat lagi supaya ia menjadi normal baharu bagi guru.

"Ini lebih mudah, murah dan boleh dicapai bila-bila masa," katanya di sini.

Habibah berkata, pembelajaran dalam talian sesuai dengan murid generasi sekarang kerana mereka memang lahir pada era digital.

Sebaliknya, beliau berkata, guru bukan dari era itu atau dipanggil 'digital migrant' dan mereka perlu dilengkapkan dengan kemahiran baharu.

"Pendekatan yang kita ingin perkenal dan perluaskan ini sesuai dengan generasi masa ini," katanya.

Berita Harian X