Sabtu, 11 Julai 2020 | 12:33pm

Perkasakan tentera darat, lebih berdaya saing

PORT DICKSON: Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) perlu mempraktikkan tiga prinsip dan lima tonggak supaya tentera lebih berdaya saing dalam semua aspek.

Panglima Tentera Darat (PTD) yang baru, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain berkata demikian ketika menyampaikan perintah ulung selepas dilantik menjadi PTD ke-28 di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini.

Beliau mengambil alih jawatan daripada PTD ke-27, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang bersara wajib, 11 Jun lalu.

Perbarisan statik itu terdiri daripada 968 merangkumi 257 pegawai dan 711 anggota pangkat lain-lain diketuai Komandan Akademi Tentera Darat, Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abul Aziz.

Sesuai dengan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, perbarisan dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota berbaris lebih jauh daripada biasa.

Zamrose berkata, seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) harus mempraktikkan tiga prinsip dan lima tonggak disarankan itu.

"Tiga prinsip itu ialah Laksanakan Apa Yang Harus Dilakukan, Lakukan Apa Yang Dikatakan Akan Dilaksanakan dan Laksanakan Perkara Yang Betul.

"Lima tonggak pula ialah Kelangsungan Misi dan Kesiagaan, Memperkasakan Keutuhan Organisasi, Pelestarian Kesejahteraan Warga, Pengukuhan Perhubungan Pertahanan dan Peningkatan Hubungan TDM Dengan Awam," katanya pada sidang media.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi.

Zamrose berkata, beliau yakin TDM akan lebih dihormati seluruh rakyat Malaysia dan antarabangsa dengan mengukuhkan tiga prinsip dan lima tonggak yang menjadi tumpuannya sepanjang memacu Tentera Darat dengan bantuan kerajaan dan sokongan Menteri Pertahanan.

"Saya mahu semua warga Tentera Darat berganding bahu bersama-sama saya dan mempunyai jati menggembleng tenaga menjayakan misi memperkasakan Tentera Darat agar lebih berdaya saing dalam segala segi.

"Sebaik dilantik, saya mengkaji semua Perintah Ulung PTD terdahulu. Ini sebagai kesinambungan dan penambahbaikan mengikut peredaran hal semasa lebih mencabar selari kemajuan dicapai negara," katanya.

Zamrose berkata, TDM juga akan memperkasakan kehidupan warga tentera dan keluarga termasuk soal pendidikan anak.

"Inilah tonggak ketiga, iaitu, Pelestarian Kesejahteraan Warga tertumpu peningkatan kualiti hidup, kemudahan rumah keluarga dan pendidikan anak terutama bagi anggota yang tinggal serta bertugas di kawasan pedalaman.

"Bagi mencapai tonggak ini, setiap pemimpin di setiap organisasi harus memberi komitmen terhadap kesejahteraan anggota, keluarga dan komuniti serta memberi penekanan terhadap aspek kesihatan dan rohani," katanya.

Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Berita Harian X